RM1.279 Juta Peruntukan Hospital Ranau Langkah Segera, Pembinaan Baharu Perlu Diteruskan – Rogers
- nabalunews
- Aug 18
- 2 min read

Oleh:Romie Stanley DGuns
RANAU, 18 Ogos – Kelulusan peruntukan RM1.279 juta dan empat ambulans baharu untuk Hospital Ranau hanyalah langkah segera, bukannya penyelesaian jangka panjang, tegas Ketua Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Ranau, Rogers Tiam.
Beliau berkata, tekanan terhadap sistem kesihatan hospital berkenaan semakin mendesak berikutan pertambahan penduduk, peningkatan jumlah pesakit, serta kedudukan Ranau sebagai daerah pelancongan dan kawasan pedalaman yang menjadi tumpuan ramai. Justeru, cadangan pembinaan Hospital Ranau Baharu perlu diteruskan dengan kajian dan perancangan serius bagi menampung keperluan masa hadapan.
"Rakyat Ranau tidak mahu sekadar kemudahan sementara. Kita mahu sebuah sistem kesihatan yang mampu menampung keperluan penduduk yang semakin meningkat serta memberikan perkhidmatan yang selamat, cekap dan bermutu," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mengenai peruntukan tersebut, Rogers memaklumkan RM950,000 akan digunakan bagi menaik taraf fasiliti sedia ada termasuk kaunter triage, kantin, dan sistem kapasiti elektrik, manakala RM329,000 lagi untuk pembelian peralatan perubatan kritikal seperti ventilator, mesin ultrasound, pemantauan janin (CTG), dan mesin ECG.
Sementara itu, beliau mengalu-alukan perolehan empat ambulans baharu yang dianggap sebagai keperluan kritikal, terutamanya bagi memastikan penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses perkhidmatan kecemasan yang lebih cepat dan berkesan.
Rogers merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, atas kesudian turun padang melawat Hospital Ranau baru-baru ini serta tindakan pantas meluluskan peruntukan tersebut.
Beliau turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin, serta seluruh warga Hospital Ranau termasuk doktor, jururawat, dan kakitangan sokongan yang terus memberikan khidmat terbaik walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan.
UPKO Ranau memberi jaminan akan terus menyokong usaha membawa manfaat kepada rakyat dan secara konstruktif menyuarakan keperluan serta kepentingan rakyat Ranau kepada kerajaan, selaras dengan keprihatinan yang telah ditunjukkan oleh Menteri Kesihatan baru-baru ini.















Comments