top of page

MA63: Kuasa pengurusan Buangan Terjadual diserah kepada negeri, berkuat kuasa Januari 2026

nabalunews


28 Ogos 2024


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Jabatan Perlindungan Alam Sekitar akan mengambil alih kuasa pengurusan buangan terjadual daripada Jabatan Alam Sekitar Persekutuan berkuat kuasa Januari 2026.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata perkara itu selaras dengan penurunan kuasa secara autonomi oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan alam sekitar.


“Perkara ini telah dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada 21 Ogos 2024 yang dipengerusikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilaporkan Bernama.


Beliau berkata beberapa tindakan telah mula dilaksanakan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar seperti membuat pindaan kepada Enakmen Perlindungan Alam Sekitar 2002 dan menggubal perundangan subsidiari berkaitan buangan terjadual.


Selain itu, jabatan itu juga menyediakan pelan pengurusan buangan terjadual di Sabah, membangunkan sistem pemantauan buangan terjadual dalam talian dan pembangunan kapasiti Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dengan sokongan penuh Jabatan Alam Sekitar Persekutuan.


Beliau berkata penurunan kuasa secara autonomi oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sabah dalam pelaksanaan MA63 berkaitan alam sekitar adalah secara berfasa dan bermula dengan pengurusan buangan terjadual.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page