Madius dedah dasar kerajaan anti perpaduanMadius dedah dasar kerajaan anti perpaduan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Madius dedah dasar kerajaan anti perpaduan



23 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) mendedahkan dasar-dasar kerajaan yang disifatkan anti perpaduan.


Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, kerajaan telah membelanjakan berbilion ringgit untuk menyatupadukan masyarakat namun ia tidak berkesudahan.


“Kerana apa? Kerana kerajaan juga yang membuat dasar-dasar yang anti perpaduan dan anti integrasi nasional.


“Sebagai contoh, pada tahun 1986 kerajaan telah mengeluarkan satu pekeliling yang ditandatangani Timbalan Perdana Menteri ketika itu bertajuk “Penggunaan Istilah/perkataan yang digunakan Dalam Penerbitan Agama Kristian Berbahasa Malaysia”.


“Pekeliling mengharamkan atau tidak membenarkan rakyat Malaysia bukan beragama Islam menggunakan empat perkataan iaitu: Allah, Kabah, Baitullah dan Solat,” jelasnya.


Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Bajet 2022 Peringkat Jawatankuasa Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.


Madius berkata, ia jelas bercanggah dengan dasar Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 1967 bagi memupuk perpaduan dan ia diterima baik oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia.


“Kita tahu, subjek Bahasa Melayu juga diwajibkan lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekiranya ingin memohon kerja dalam jabatan kerajaan.


“Cumanya pekeliling 1986 itu adalah sangat bertentangan dengan Dasar Bahasa Kebangsaan 1967,” tegasnya.


Tambah Madius, satu lagi contoh terkini ialah dalam penyediaan jadual peperiksaan SPM tahun 2021 pada bulan Mac tahun 2022.


“Kementerian Pendidikan telah membuat keputusan bahawa peperiksaan juga diadakan pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.


“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) langsung tidak mempedulikan bahawa guru-guru dan pelajar-pelajar yang beragama Islam harus menunaikan solat Jumaat pada hari Jumaat; begitu juga dengan guru-guru dan pelajar-pelajar beragama Kristian Gereja Seventh Day Adventist (SDA) perlu menunaikan ibadat sepanjang hari Sabtu.


“Malah pelajar-pelajar yang beragama Kristian Gereja Roman Katolik, Basel, Anglikan, Sidang Injil Borneo, Methodist dan beberapa lagi dominasi Kristian yang lain perlu menunaikan ibadat pada hari Ahad,” katanya.


Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu menyifatkan ketidakpedulian KPM sangat bertentangan dengan falsafah pendidikan kebangsaan.


Katanya, perlu diperingatkan bahawa falsafah pendidikan kebangsaan tersebut menyatakan bahawa “pendidikan itu melahirkan insan yang seimbang dari segi Jasmani, emosi, rohani, intelektual dan social” dan yang lebih parah lagi ialah, jadual peperiksaan SPM betul-betul bertentangan dengan “5 Prinsip Rukun Negara” iaitu pada prinsip pertama Kepercayaan Kepada Tuhan.


“Pertanyaan saya kepada YB Menteri Perpaduan Negara ialah adakah YB ataupun kementerian YB telah memberi nasihat kepada YB Menteri Pendidikan? Ataupun membawa perkara ini kepada Mesyuarat Jemaah Kabinet? atau adakah pihak Kementerian Pendidikan merujuk kepada YB sebelum Jadual itu dikeluarkan?,” katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page