Tiada PdPR, sesi persekolahan berjalan seperti biasa – KPM
- nabalunews
- 28 minutes ago
- 1 min read

17 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan berjalan seperti biasa buat masa ini, dan tiada sebarang ketetapan berkaitan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dibuat.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kementerian prihatin terhadap kegusaran masyarakat berikutan berita tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR.
"Pada masa ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Keutamaan KPM adalah untuk memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas, serta pada masa sama aspek kebajikan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini tular kononnya PdPR akan dilaksanakan susulan cadangan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan diputuskan Kabinet pada Selasa, sebagai langkah penjimatan berikutan ketidaktentuan ekonomi akibat konflik di Asia Barat.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam laporan berasingan memaklumkan keputusan untuk tidak melaksanakan PdPR dibuat dengan mengambil kira keutamaan terhadap kelancaran pembelajaran murid di sekolah.
Beliau menegaskan menegaskan keutamaan kementerian adalah memastikan pembelajaran murid tidak terjejas dan sebarang keputusan besar berkaitan sistem pendidikan termasuk PdPR perlu diteliti secara menyeluruh serta dibincangkan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.
Menurutnya, pengalaman ketika pandemik Covid-19 sebelum ini turut menjadi pengajaran penting kepada kerajaan dalam memastikan aspek pembelajaran anak-anak diberi perhatian sewajarnya.











