- Wartawan Nabalu News
Makan Malam Amal Gereja SIB Kota Kinabalu Likas berjaya kumpul RM70,000

30 November 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sebanyak RM70,000 berjaya dikumpul hasil penjualan tiket Makan Malam Amal Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kota Kinabalu Likas, di Dewan Hakka Likas, di sini, baru-baru ini.
Senior Pastor SIB Kota Kinabalu, Pastor Saniel Angkot berkata, majlis itu bertujuan mengumpul dana untuk membiayai penyelengaraan Gereja SIB Kota Kinabalu Likas.
"Sumbangan itu akan dimasukkan dalam Tabung Pembangunan Renovasi Gereja SIB Kota Kinabalu Likas.
“Beberapa bahagian struktur bangunan gereja itu perlu dibaiki untuk keselesaan para jemaah.

“Bagi tujuan itu, Majlis Gereja SIB menganjurkan makan malam amal. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini dan juga kepada para dermawan atas sumbangan mereka,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu.
Sebagai sokongan kepada pihak gereja, Ahli Parlimen Penampang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menghulurkan sumbangan sejumlah RM3,000.
Majlis itu dimeriahkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk lagu-lagu Krismas.