Warga SPRM Diingatkan Untuk Terus Junjung Integriti, Laksana Amanah
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

24 Mac 2026
KUALA LUMPUR: Warga kerja Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu terus menjunjung integriti dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ramadan lalu bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu proses membina disiplin, menguatkan kawalan diri, meneguhkan integriti serta memperhalusi nilai-nilai murni.
Katanya, semangat dan pengajaran ramadan perlu dibawa ke dalam setiap tindakan dan pelaksanaan tugas harian warga SPRM.
“Kini adalah waktu untuk kita bangkit dengan semangat baharu, tenaga yang segar dan fokus yang diperbaharui.
“Kita perlu terus mengamalkan gaya hidup yang sihat, berdisiplin dalam setiap aspek, serta menjauhi sikap berlebihan sama ada dalam pemakanan, keselesaan, mahupun rasa leka.
“Sebagai warga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kita mesti terus menjunjung integriti yang tinggi dalam setiap tindakan.
“Tugas ini adalah satu amanah, dan rakyat menaruh harapan agar kita melaksanakannya dengan penuh kejujuran, keberanian, dan profesionalisme,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, warga SPRM turut diingatkan untuk bersedia berdepan dengan pelbagai kritikan, persepsi negatif dan fitnah.
“Akan sentiasa ada pihak yang tidak selesa dengan ketegasan kita dalam menguatkuasakan undang-undang. Tidak kurang juga yang sanggup menyebarkan naratif palsu dan tidak berasas, walaupun mereka mengetahui hakikat yang sebenar.
“Namun, kita tidak boleh dan tidak akan terpesong daripada tanggungjawab kita.
Kita perlu teguh dalam prinsip. Kekal fokus kepada misi. Biarkan kerja kita, integriti dan hasil pencapaian kita berbicara lebih kuat daripada sebarang tuduhan,” katanya.
Azam berkata, warga SPRM juga diingatkan agar terus berkhidmat dengan penuh keikhlasan, disiplin yang tinggi, dan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
“Integriti adalah asas kita. Disiplin kekuatan kita. Berkhidmat kepada rakyat amanah kita,”’tegasnya.















Comments