Maklumat Tepat Penting Tingkat Keyakinan Pembayar Cukai

26 Sept 2026
KOTA KINABALU: Penyampaian maklumat percukaian yang tepat dan mudah difahami penting bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem percukaian negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, sistem percukaian yang baik bergantung kepada penyampaian informasi yang betul dan tepat bagi membantu rakyat memahami tanggungjawab mereka sebagai pembayar cukai.

"Peranan pengamal media amat penting dalam menyampaikan maklumat berkaitan percukaian kepada masyarakat, sekali gus membantu meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan melaksanakan tanggungjawab berkenaan.
"Saya berharap kerjasama antara HASiL dan pengamal media dapat diteruskan bagi memastikan maklumat serta inisiatif percukaian disampaikan dengan tepat dan segera kepada pembayar cukai, khususnya di Sabah.

"Saya percaya satu sistem percukaian yang baik bergantung kepada penyampaian maklumat yang betul dan tepat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mereka merasa yakin mengapa mereka perlu menjalankan tanggungjawab mereka untuk membayar cukai," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi HASiL bersama pengamal media Negeri Sabah, di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, HASiL akan melaksanakan Bulan HASiL pada Oktober ini dengan tema "Lapor Sukarela, Tanggungjawab Bersama" bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab percukaian.
Inisiatif itu turut memberi tumpuan kepada program pengakuan sukarela melibatkan e-Invois, Duti Setem dan pelaporan cukai.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media Sabah atas kerjasama dalam membantu menyampaikan maklumat percukaian kepada masyarakat.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Khairul Halimin Abdul Halim, Pengarah HASiL Sabah, Datin Dayang Halimah Awang Ahmad dan Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah, Dr. Diana Dominic./Penerangan-















Comments