Malaysia Airlines dan AirAsia batalkan penerbangan, Kuala Lumpur ke Sabah, Sarawak susulan letusan Gunung Berapi Ruang
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia Airlines dan AirAsia batalkan penerbangan, Kuala Lumpur ke Sabah, Sarawak susulan letusan Gunung Berapi Ruang

18 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News 


KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines dan AirAsia, telah membatalkan beberapa penerbangan di antara Kuala Lumpur dengan Sabah dan Sarawak susulan letusan Gunung Ruang, Indonesia, pada Khamis.


Menurut Malaysia Airlines, sebanyak 11 penerbangan di antara Sabah dan Kuala Lumpur turut terlibat dalam pembatalan tersebut.


Antaranya adalah MH7420 (KUL-TWU), MH7421 (TWU-KUL), MH2612 (KUL-BKI), MH2621 (BKI-KUL), MH2710 (KUL-SDK), MH2711 (SDK-KUL), MH2610 (KUL-BKI), MH2611 (BKI-KUL), MH7404 (KUL-BKI), MH7405 (BKI-KUL) dan MH2613 (BKI-KUL).


"Manakala penerbangan Sarawak dan Kuala Lumpur yang dibatalkan adalah MH2520 (KUL-KCH); MH2513 (KCH-KUL); MH2542 (KUL-KCH); MH2543 (KCH-KUL); MH2574 (KUL-MYY); MH2575 (MYY-KUL); MH2742 (KUL-BTU) dan MH2473 (BTU-KUL)," tambah Malaysia Airlines.


Sementara itu, AirAsia juga turut membatalkan 16 penerbangan, dengan semua penumpang terjejas diberikan peluang untuk membuat perubahan sekali kepada mana-mana tarikh perjalanan baharu dalam tempoh 30 hari dari tarikh berlepas asal pada laluan yang sama tanpa kos tambahan, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk.


"Memandangkan keadaan berubah-ubah, kami akan terus memantau secara dekat sebarang perkembangan terkini.


"Maklumat lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dikemas kini dan dimaklumkan terus kepada penumpang yang terjejas," kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan hari ini.


Malaysia Airlines juga sedang berusaha membantu penumpang yang terjejas akibat pembatalan kepada penerbangan alternatif sebaik sahaja keadaan bertambah baik. 


"Penumpang diminta untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines untuk menerima kemas kini dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS," jelas kenyataan itu.


Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara telah dipindahkan susulan letusan Gunung Ruang yang telah meletus lebih tiga kali sejak Rabu lalu. 

bottom of page