top of page
nabalunews

Malaysia alami peningkatan 4 kali ganda kejadian gelombang haba – UNICEF


14 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Malaysia mengalami peningkatan empat kali ganda dalam kejadian gelombang haba sejak tahun 1960-an.


Menurut satu laporan media tempatan hari ini, analisis Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan, negara kini mengalami purata lapan gelombang haba setiap tahun, dengan setiap gelombang berlangsung kira-kira lima hari.


Ini berbanding hanya dua gelombang haba setahun dengan tempoh sehingga empat hari pada tahun 1960-an.


Analisis kajian yang diterbitkan semalam itu turut menunjukkan peningkatan tahap keterukan gelombang haba dengan suhu naik daripada 35 darjah Celsius melebihi purata pada 1960-an kepada 69 darjah Celsius melebihi purata bagi 2020-an.


Bagaimanapun, analisis itu tidak menyatakan suhu purata tempatan pada tahun 1960-an dan 2020-an.


Menurut definisi UNICEF, keterukan gelombang haba merujuk kepada suhu yang melebihi purata 15 hari tempatan.


Analisis turut mencatatkan, musim panas dan kering di Malaysia kini bermula lebih awal, satu trend semakin teruk akibat kejadian El Nino dan mencerminkan kadar perubahan iklim yang pesat.


Ini menimbulkan risiko kepada kira-kira 750,000 kanak-kanak di Malaysia yang kini tinggal di kawasan yang mengalami dua kali ganda hari dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius, berbanding 1960-an.


Analisis itu juga mendapati, secara global kira-kira 466 juta kanak-kanak atau satu dalam lima kanak-kanak yang tinggal di kawasan yang mengalami sekurang-kurangnya dua kali ganda bilangan hari sangat panas berbanding 60 tahun lalu.


Di 16 negara, kanak-kanak kini menghadapi tambahan hari sangat panas melebihi sebulan setiap tahun berbanding enam dekad lalu.


UNICEF berkata, Afrika Barat dan Afrika Tengah menghadapi pendedahan tertinggi, dengan 123 juta kanak-kanak mengalami sehingga 212 hari sangat panas setiap tahun.


Amerika Latin dan Caribbean juga menyaksikan peningkatan yang ketara.


Dalam konteks gelombang haba, kanak-kanak di 100 negara kini mengalami dua kali ganda gelombang haba berbanding 60 tahun yang lalu.


Dalam pada itu, UNICEF memberi amaran bahawa kepanasan melampau menimbulkan risiko kesihatan serius termasuk komplikasi kehamilan, kekurangan zat makanan kanak-kanak, penyakit berkaitan haba dan masalah kesihatan mental.


Ia juga memburukkan keadaan kesihatan sedia ada dan meningkatkan masalah penyakit berjangkit.


Justeru, UNICEF menyeru semua negara anggota Perjanjian Paris termasuk Malaysia untuk mengemukakan kemas kini pelan iklim nasional, yang akan memandu tindakan iklim dalam dekad akan datang.

Comments


bottom of page