top of page

Malaysia, AS Naik Taraf Hubungan Kepada Perkongsian Strategik Komprehensif

  • nabalunews
  • Oct 26, 2025
  • 1 min read

26 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini mengumumkan penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).


Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, ia sebagai pengiktirafan terhadap kerjasama strategik dalam pelbagai bidang yang semakin berkembang antara Malaysia dan AS.


Katanya, penaiktarafan itu menandakan satu kemajuan bersejarah dalam hubungan antara kedua-dua negara berteraskan hubungan diplomatik yang terjalin sejak 1957 dan diperkukuh melalui rangka Perkongsian Komprehensif pada 2014.


"CSP ini mencerminkan keutuhan kerjasama dua hala yang berterusan dalam pelbagai bidang strategik, khususnya perdagangan dan pelaburan, teknologi maju, pertahanan dan keselamatan, keselamatan tenaga, keamanan dan kestabilan serantau serta hubungan antara rakyat kedua-dua negara.


“Ia juga akan terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai rakan kongsi penting dan dipercayai di rantau Asia Pasifik,” menurut kenyataan itu selepas mesyuarat dua hala antara kedua-dua pemimpin di ibu negara hari ini.


Lawatan rasmi Trump ke Malaysia adalah bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.


“Kedua-dua pemimpin menyifatkan pertemuan sulung semasa lawatan rasmi Presiden AS ke Malaysia bersempena sidang terserbut sebagai satu detik bersejarah,” menurut kenyataan itu lagi.


AS kekal sebagai antara rakan dagang terbesar Malaysia dan pelabur terbesar secara keseluruhan dengan jumlah dagangan bernilai RM324.91 bilion (USD71.39 bilion) direkodkan pada 2024.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page