Malaysia–Australia perkukuh hubungan dua hala, fokus kerjasama ekonomi dan pendidikan
- nabalunews
- Jul 11, 2025
- 1 min read

11 Julai 2025
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Australia, Senator Penny Wong, dalam usaha memperkukuh lagi hubungan dua hala yang telah terjalin sejak tahun 1957.
Dalam pertemuan itu, Anwar mengalu-alukan minat pelabur Australia yang semakin meningkat dalam sektor utama seperti pembuatan pintar, ekonomi digital, kecerdasan buatan dan tenaga boleh diperbaharui.
“Australia juga dijemput menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) September ini, selaras potensi besar ekonomi halal sebagai pemacu kerjasama masa depan,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Beliau berkata, bidang pendidikan kekal sebagai tonggak utama hubungan dua hala, dengan satu memorandum persefahaman (MoU) baharu dijangka dimeterai pada Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia yang dijadualkan Oktober ini.
“MoU tersebut merangkumi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kurikulum serta program pertukaran pelajar,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan atas sokongan Australia dalam memperkasa keupayaan vaksin Malaysia, termasuk peruntukan sebanyak AUD500,000 untuk tujuan latihan dan penyelidikan dalam bidang berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau menantikan kunjungan rasmi Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini.
Katanya, lawatan itu akan membuka lembaran baharu hubungan dua hala, berteraskan kepercayaan, nilai bersama serta aspirasi ke arah rantau Indo-Pasifik yang lebih aman dan makmur.















Comments