top of page
  • nabalunews

Malaysia bakal perkenal rangka kerja kawal selia sasar jadi hab CCUS Global - Rafizi



26 September 2024


KUALA LUMPUR: Malaysia bercadang untuk memperkenalkan rangka kerja kawal selia mampan di parlimen pada November ini dengan matlamat menjadikan negara sebagai hab pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) global.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata dengan pengalaman dan kelebihan yang dimiliki Malaysia sudah sampai masanya bagi negara untuk meletakkan dirinya sebagai peneraju CCUS.


“Dan memandangkan Asia sahaja akan membentuk 50 peratus daripada permintaan CCUS global pada 2050, Malaysia telah mengambil tindakan pantas untuk memanfaatkan keupayaan teknikal sedia ada kita dan tapak storan utama rantau ini.


"Saya berharap (rang undang-undang) yang kami akan bentangkan pada November ini akan mempercepatkan penyatuan semua komponen industri CCUS untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju CCUS serantau dan juga global," katanya ketika berucap pada majlis pembukaan rasmi pameran perdagangan Minyak dan Gas Asia (OGA) 2024 edisi ke-20, di sini, semalam.~


~Rafizi berkata sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadikan negara sebagai hab CCUS serantau di Asia, Malaysia juga telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan beberapa negara untuk membina momentum bagi pusingan bidaan tahun depan.


Beliau berkata kesan bersih paradigma ekonomi baharu ini bakal mencipta lebih 200,000 pekerjaan dan menjana nilai tambah kasar kira-kira US$250 bilion bagi tempoh 30 tahun akan datang.


Menurutnya, CCUS merupakan satu daripada enam pemacu peralihan tenaga di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) yang dilancarkan tahun lepas dan projek perdana sahaja di bawah NETR dijangka membawa masuk pelaburan berjumlah lebih RM25 bilion merentasi setiap enam inisiatif ini.


“Bagaimanapun, untuk merealisasikan cita-cita menjadi hab tenaga boleh baharu kita memerlukan pembiayaan kira-kira RM1.3 trilion menjelang 2050. Peruntukan kerajaan sebanyak RM2 bilion di bawah Fasiliti Peralihan Tenaga Nasional akan membantu menyokong usaha ini,” katanya.


Sementara itu Rafizi berkata permintaan minyak dijangka memuncak pada 2030 yang akan menyebabkan kesan "pengurangan berperingkat" bahan api fosil.


Bagaimanapun, beliau berkata gas asli dijangka terus menjadi asas utama dan akan menjadi tonggak kepada peralihan tenaga.


“Malah, campuran tenaga Malaysia sendiri akan menyaksikan gas asli meningkat daripada 43 peratus kepada 56 peratus antara 2023 dan 2050,” katanya.


Sementara itu, OGA 2024 yang bertemakan 'Memperkasa Kemajuan Ke Arah Landskap Tenaga Mampan', berlangsung dari 25-27 Sept, 2024 dan disertai kira-kira 2,000 syarikat dan jenama merentas rantaian nilai penuh.


Informa Markets merupakan penganjur utama OGA 2024.


Pengerusi Informa Markets Malaysia Tan Sri Abdul Rahman Mamat berkata dengan tujuh pavilion antarabangsa dari Jerman, Korea Selatan, Singapura, United Kingdom, China, Itali dan India, lebih 25,000 pelawat dari 70 negara dijangka mengunjungi pameran itu.


Tahun lepas, sebanyak 28,530 pelawat perdagangan dari 80 negara mengunjungi OGA dengan 50 peratus daripada mereka memperoleh produk, perkhidmatan dan maklumat pasaran terkini.


Bagi maklumat terkini mengenai OGA 2024, sila layari www.oilandgas-asia.com.

Comments


bottom of page