top of page

MALAYSIA BIMBANG PERKEMBANGAN TERKINI MYANMAR SUSULAN RAMPASAN KUASA OLEH TENTERA

  • nabalunews
  • Feb 1, 2021
  • 2 min read

ree

1 FEB 2021


PUTRAJAYA: Malaysia bimbang dengan perkembangan terkini di Myanmar yang dilapor menyaksikan rampasan kuasa oleh tentera pada awal Isnin dengan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Myanmar U Win Myint dan lain-lain pegawai kanan ditahan di ibu kota Naypyidaw. Menurut kenyataan Kementerian Luar, Malaysia menggesa tentera Myanmar serta pihak berkaitan agar mengutamakan keamanan dan keselamatan di negara itu, mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menyelesaikan sebarang percanggahan elektoral melalui mekanisme undang-undang dan dialog secara aman. “Malaysia menyokong kesinambungan perbincangan dalam kalangan pemimpin Myanmar bagi mengelak kesan buruk terhadap rakyat serta negara Myanmar, khususnya ketika situasi sukar sekarang akibat penularan COVID-19,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Media antarabangsa melaporkan tentera Myanmar telah mengambil alih negara itu menerusi rampasan kuasa serta mengisytiharkan darurat selama setahun selepas menahan pemimpin politik dan pemimpin kanan kerajaan atas dakwaan penyelewengan dalam pilihan raya negara tersebut pada November 2020. Susulan perkembangan semasa di Myanmar, kementerian itu menasihati semua rakyat Malaysia di negara berkenaan agar kekal bertenang serta berwaspada selain mematuhi nasihat keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Untuk bantuan konsular dan kes kecemasan, mereka yang berkenaan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Yangon menerusi talian +95 9 772 220 230 atau e-mel kepada embygn2021@gmail.com.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perkembangan di Myanmar tersebut sebagai merisaukan dan menggesa semua pihak menghormati perlembagaan dan mandat rakyat. “Tindakan pihak tentera itu menjejaskan langkah-langkah tentatif yang diambil oleh rakyat Myanmar ke arah demokrasi. “ASEAN dan pemimpin dunia perlu bersatu dan membuat gesaan agar pemimpin politik yang ditahan dibebaskan segera selain mengembalikan kedaulatan undang-undang di Myanmar. Selepas berjuang sekian lama, rakyat Myanmar berjaya mewujudkan perlembagaan dan kebebasan pilihan raya asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas isu sama, Majlis Peguam Malaysia berkata sekali lagi demokrasi diinjak oleh pihak tentera, iaitu satu pencabulan terhadap kedaulatan undang-undang serta hak asasi manusia. “Kami menggesa kerajaan Malaysia agar mengecam tindakan itu yang melanggar susila masyarakat moden dan demokratik serta membuat gesaan supaya tentera Myanmar membebaskan kesemua pegawai kerajan dan pemimpin pertubuhan sivil yang ditahan mereka,” kata Presidennya Salim Bashir dalam kenyataan. Katanya badan itu akan melakukan apa sahaja yang ia mampu untuk menyokong perjuangan rakyat Myanmar mewujudkan demokrasi serta kebebasan di negara berkenaan. “Doa dan ingatan kami untuk seluruh rakyat Myanmar dan juga pengamal undang-undang di sana,” katanya. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page