top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia komited perkukuh kerjasama dengan negara-negara Komanwel


12 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Dalam langkah memperkasa hubungan dengan Negara-Negara Ahli Komanwel, Malaysia komited untuk terus meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang penting.


Menjelang Hari Komanwel, yang diraikan setiap tahun pada Isnin kedua bulan Mac, Wisma Putra telah menyatakan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama dengan Negara-Negara Ahli Komanwel dalam aspek tadbir urus yang baik, diplomasi kesihatan, pencegahan ekstremisme dan keganasan, serta pembangunan lestari.


Tema Hari Komanwel tahun ini, 'Satu Masa Depan Bersama yang Berdaya Tahan: Transformasi Kekayaan Kita Bersama,' menyeru kepada peningkatan kerjasama untuk membina ketahanan dan memanfaatkan potensi digital demi masa depan yang lebih cemerlang.


"Tema ini menyeru Negara-Negara Ahli untuk mempertingkatkan kerjasama bagi membina daya ketahanan, membuka potensi dan mengukuhkan hubungan digital bagi memastikan Komanwel kekal relevan untuk masa hadapan.


"Hari Komanwel disambut bagi meraikan jalinan dan ikatan persahabatan serta sumbangan Komanwel ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.


"Malaysia mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) Ke-27 di Apia, Samoa pada Oktober tahun ini," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.


Malaysia menyertai Komanwel selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Pertubuhan Komanwel terdiri daripada 56 Negara Ahli yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Empayar British.

コメント


bottom of page