Malaysia perlukan 12,000 pakar keselamatan siber - Fahmi Fadzil
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia perlukan 12,000 pakar keselamatan siber - Fahmi Fadzil



21 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Serangan siber menjadi cabaran besar dalam usaha kerajaan memacu agenda pendigitalan negara, dan Malaysia masih memerlukan kira-kira 12,000 pakar keselamatan siber lagi untuk menangani isu itu.


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ketika ini hanya ada 15,000 orang pakar keselamatan siber, sedangkan keperluan sebenar adalah kira-kira 27,000 orang.


"Ini satu kekurangan yang sangat besar sebab bila kita faham keperluan untuk keselamatan siber dan rata-rata syarikat, terutama yang banyak terlibat dengan ekonomi digital, mereka akan mementingkan isu keselamatan siber dan akan ada keperluan mendesak untuk menubuhkan unit keselamatan siber sendiri.


“Setiap syarikat bergantung kepada saiz, mungkin memerlukan antara 20 hingga 30 orang, dan kalau kita tengok perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai contoh, memang ada keperluan," katanya selepas program Ruang Bicara bertajuk Pasca Pembentangan Belanjawan 2024 terbitan Bernama TV semalam.


Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Digital, menerusi CyberSecurity Malaysia, akan melaksanakan beberapa ikhtiar untuk memantapkan lagi industri itu dalam menangani serangan siber.


"Perkara ini boleh diatasi dengan kerjasama pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta, juga dengan membawa masuk pakar dari luar. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam belanjawan juga ada menyatakan beberapa insentif iaitu sama ada rakyat Malaysia kembali ke tanah air melalui TalentCorp dan warga asing boleh berkhidmat di Malaysia serta beberapa lagi insentif tertentu," katanya.


Fahmi juga berkata pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran atau tempoh dalam usaha memenuhi keperluan tenaga pakar keselamatan siber kerana industri itu berkembang dengan pesat.


"Tidak ada anggaran masa tetapi oleh sebab sektor ini berkembang pesat, angka (pakar keselamatan siber) akan berubah tahun demi tahun. Apabila lebih banyak syarikat yang ditubuhkan maka akan ada keperluan, jadi saya lihat angka akan menjadi dinamik pada tahun depan, mungkin akan lebih besar," katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page