Malaysia, Poland komited perkukuh hubungan dua hala, fokus eksport minyak sawit
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

10 Jun 2025
PUTRAJAYA: Malaysia dan Poland komited untuk memperkukuh hubungan dua hala yang lebih strategik, inklusif dan menyeluruh, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Komitmen berkenaan ditegaskan beliau bersama Presiden Poland Andrzej Duda pada sidang media bersama yang berlangsung sempena lawatan rasmi pemimpin tertinggi Poland itu ke Malaysia.
Anwar berkata, antara bidang utama yang menjadi fokus ialah perluasan eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran Poland dan Eropah, serta pengukuhan eksport produk perkayuan yang bernilai tinggi.
“Turut diberi perhatian ialah aspek kerjasama dalam sektor perolehan pertahanan dan perdagangan produk kayu serta balak yang lestari, memandangkan potensi besar sektor ini dalam menjana nilai tambah kepada ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi kerjasama dalam sektor elektrik dan elektronik, termasuk pembangunan teknologi baharu seperti hidrogen hijau selaras dengan agenda kelestarian serta peralihan tenaga yang giat dipacu di peringkat global.
Menurut Anwar, kedudukan Poland sebagai rakan strategik Malaysia dalam Kesatuan Eropah menjadikan hubungan ini sangat penting dan perlu terus diperkasakan.
“Saya berharap hubungan Malaysia dan Poland akan terus diperkukuh serta berkembang demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” katanya.
Poland merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara EU dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 19.5 peratus kepada RM5.66 bilion pada tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Eksport utama Malaysia ke Poland termasuk produk elektrik dan elektronik, produk getah serta jentera dan alat ganti, manakala import dari Poland merangkumi jentera, alat ganti, produk elektrik dan elektronik serta kelengkapan pengangkutan.
Comments