Malaysia sasar jadi kuasa AI global - Wilson
30 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Kerajaan merebut peluang yang dibawakan oleh pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) dengan berusaha lebih giat untuk menjadikan negara sebagai kuasa AI global, kata Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Menurut laporan Sinar Harian, Wilson
berkata kerajaan merealisasikan matlamat ini dengan memberi tumpuan serentak terhadap tiga aspek iaitu tenaga kerja AI, infrastruktur AI dan kepimpinan global dalam rantaian bekalan AI.
Menurutnya, Malaysia dalam kedudukan yang baik untuk membangunkan tenaga kerja AI di seluruh negara, dengan meningkatkan kualiti hidup rakyat dan meneraju dunia dalam inovasi dipacu AI generatif.
"Tenaga kerja AI Malaysia sedang dibangunkan melalui tiga inisiatif yang disokong kerajaan, iaitu pembinaan kemahiran, penyelidikan dan pembangunan AI, dan keusahawanan," katanya dalam ucaptama pada sidang kemuncak bertemakan 'Mentransformasikan Ekonomi Digital Global menerusi AI Generatif' hari ini.
Dari segi infrastruktur AI, beliau berkata, pengkomputeran AI disediakan di pusat data yang disambungkan kepada grid elektrik dan rangkaian telekomunikasi, justeru telah menjadi sumber negara yang diperlukan Malaysia untuk memacu pertumbuhan ekonomi dipacu AI.
Menurut Wilson, Malaysia mempunyai permulaan kukuh menerusi pembinaan pusat data pengkomputeran AI dengan pelaburan komited lebih AS$20 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Comments