top of page

Malaysia sasar kedudukan 20 terbaik dalam Indeks Inovasi Global

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 1 min read

ree

5 November 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melaksanakan langkah strategik bagi menempatkan Malaysia dalam kalangan 20 negara terbaik dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menerusi tadbir urus dan pemantauan rentas agensi yang lebih berkesan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara yang dipengerusikan beliau pagi tadi.


Jelasnya, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan kedudukan Malaysia dalam GII, yang menjadi penanda aras penting dalam menilai tahap inovasi dan daya saing negara di peringkat antarabangsa.


“Indeks ini menjadi panduan kepada kerajaan, industri dan pembuat dasar dalam merangka keputusan strategik bagi memastikan Malaysia muncul sebagai negara berteknologi tinggi yang berteraskan nilai MADANI menjelang 2030,” katanya menerusi hantaran di Facebook.


Dalam pada itu, katanya, mesyuarat turut meneliti penambahbaikan dalam pembiayaan dana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi memastikan penyampaian lebih cekap dan berimpak tinggi.


Menurut beliau, kerjasama antara sektor awam dan swasta dikenal pasti sebagai pemangkin utama selaras dengan Dasar STI Negara 2021-2030 yang berhasrat mengubah Malaysia menjadi negara pembangun teknologi.


“Saya tekankan keperluan menyelaras agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berorientasikan misi agar tidak bergerak secara bersendirian, supaya setiap inovasi benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan membentuk masa depan negara yang lebih unggul,” ujarnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page