top of page

Malaysia sokong pembangunan AI bagi percepat inovasi, cipta peluang baharu

  • nabalunews
  • Nov 1
  • 1 min read

ree

1 November 2025


KUALA LUMPUR: Malaysia menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI) untuk memperluas ilmu, mempercepat inovasi dan mencipta peluang baharu yang dapat meningkatkan martabat rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, kekuatan sebenar teknologi terletak pada keupayaannya mengangkat tamadun, bukan menenggelamkan nilai-nilai luhur yang menjadi asasnya.


Bagaimanapun, katanya kemajuan tidak boleh diukur melalui kecekapan atau keuntungan ekonomi semata-mata.


"Pertumbuhan digital mesti bergerak seiring dengan tenaga boleh diperbaharui, kelestarian alam dan prinsip moral yang tidak boleh dikompromi.


“Kita tidak mahu sebuah dunia di mana peranti menentukan takdir manusia. Sebaliknya, kita ingin membina masa depan di mana AI memperkasa kreativiti manusia, memperkukuh komuniti dan memperkayakan jiwa,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi intervensi Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan hari ini.


Dalam masa sama, beliau menegaskan teknologi perlu kekal sebagai alat kemajuan insan, bukan pengganti makna kemanusiaan kerana kemajuan tanpa nilai hanya akan membawa dunia kehilangan arah dan makna.


Menurut beliau, AI kini bukan lagi sekadar peranti canggih di hujung jari sebaliknya menjadi nadi masa depan.


"Persoalannya bukan lagi sama ada kita harus menerima AI, tetapi bagaimana memastikan teknologi ini menyantuni manusia tanpa membebankan dan tidak menghakis nilai kemanusiaan," ujarnya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page