Malaysia terajui agenda ASEAN mengenai perniagaan, hak asasi manusia
- nabalunews
- Jun 30, 2025
- 2 min read

30 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) bagi 2025, Malaysia akan menganjurkan bengkel serantau mengenai perspektif lensa gender dalam perniagaan dan hak asasi manusia di sini, bermula hari ini.
Bengkel dua hari itu akan membincangkan rangka kerja lensa gender serantau dalam menangani cabaran berasaskan gender, mengatasi diskriminasi struktur dan budaya serta memperkukuh perlindungan hak asasi wanita dan kanak-kanak perempuan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri memaklumkan ia juga akan meneliti pelaksanaan Prinsip Panduan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia: Pelaksanaan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu "Melindungi, Menghormati dan Pemulihan".
“Penelitian ini memberi penekanan terhadap kemajuan dan cabaran dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan berhubung kesaksamaan gender, pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi, serta pengurangan ketidaksamaan,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, amalan-amalan baik dalam menangani cabaran dan halangan untuk mendapatkan penyelesaian yang berkesan berkaitan isu ini juga akan turut dikongsikan.
Ia selaras dengan matlamat AICHR untuk menyokong Negara-Negara Anggota ASEAN melalui syor kepada kerajaan dan perusahaan perniagaan untuk dipertimbangkan dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan amalan.
"Selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, bengkel ini menyokong usaha pembangunan ASEAN yang terangkum dan mampan serta mengukuhkan kepimpinan Malaysia dalam memajukan agenda perniagaan dan hak asasi manusia yang lebih responsif," menurut kenyataan itu.
Bengkel itu diketuai oleh Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon, yang juga berkhidmat sebagai Pengerusi AICHR untuk 2025.
Program itu disokong bersama oleh Negara Anggota ASEAN melalui Dana AICHR, Kerajaan Jepun melalui Japan-ASEAN Integration Fund (JAIF), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) serta kerjasama kementerian dan agensi Malaysia dan juga SUHAKAM.
Ia adalah antara inisiatif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam mengukuhkan komitmen teguh negara terhadap hak asasi manusia dalam rangka kerja "Keterangkuman dan Kemampanan.















Comments