top of page
  • Wartawan Nabalu News

Malaysia tersenarai sebagai negara dengan keadaan pelaburan terbaik di kalangan negara membangun Asia


14 Mac 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia telah disenaraikan sebagai negara dengan keadaan pelaburan terbaik di kalangan negara-negara Asia yang sedang berkembang dan membangun dalam Indeks Peluang Global (GOI) 2024 oleh institut pemikiran ekonomi AS, Milken Institute.


Secara global, Malaysia menduduki kedudukan keseluruhan ke-27, mengatasi Thailand (37) dan China (39).


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pencapaian ini adalah bukti usaha Malaysia dalam meningkatkan kemudahan dalam melakukan perniagaan dan menangani kekangan utama para pelabur.


"Pengiktirafan ini sangat memberangsangkan, dan ini menunjukkan fokus kami kepada pelaksanaan pelaburan yang diluluskan dengan cekap.


"Pengiktirafan ini akan mendorong kami ke arah memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk membantu pelabur menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk mereka ke Asia," katanya kepada Bernama apabila diminta mengulas laporan itu.


Menurut laporan itu, E&D Asia mempunyai GOI ketiga terbesar antara negara-negara dalam kalangan rantau E&D.


Katanya empat daripada 10 negara teratas dalam kedudukan E&D Asia mengatasi purata keseluruhan E&D dalam lima kategori GOI.


"Kategori tersebut ialah persepsi perniagaan, asas ekonomi, perkhidmatan kewangan, rangka kerja institusi serta piawaian dan dasar antarabangsa," katanya.


Dalam pada itu, Milken Institute berkata Malaysia, negara yang mempunyai keadaan pelaburan terbaik di rantau ini menunjukkan prestasi yang ketara mengatasi purata E&D dalam perkhidmatan kewangan dan rangka kerja institusi.


"Prestasi luar biasa Malaysia dalam rangka kerja institusi sebahagiannya disebabkan hak pelabur yang kukuh, berada di kedudukan kelima secara keseluruhan dalam subkategori GOI ini.


"Selain Malaysia, China, ekonomi terbesar di rantau ini, mencatatkan skor yang ketara melebihi purata E&D dalam akses kewangan serta saiz dan keadaan kewangan, kedua-dua subkategori itu termasuk dalam perkhidmatan kewangan," katanya.


Milken turut mendapati E&D Asia mencatatkan prestasi yang baik dalam perkhidmatan kewangan dengan purata skornya dalam kategori ini hampir dengan E&D Eropah dan mendahului rantau E&D lain.


"Rantau ini termasuk Malaysia yang mempunyai keadaan pelaburan terbaik (berdasarkan skor GOI tertinggi) dalam kalangan semua ekonomi E&D.


"Selain persepsi perniagaan dan perkhidmatan kewangannya yang kukuh, Malaysia berada di kedudukan yang agak tinggi dalam kategori rangka kerja institusi, sebahagiannya disebabkan hak pelabur yang kukuh di negara ini," katanya.

Comments


bottom of page