Malaysia tidak terima sekularisme sepenuhnya, nilai agama penting dalam sistem kerajaan
Wartawan Nabalu News

10 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh menerima sekularisme yang mengetepikan dan mengasingkan antara agama dan kerajaan sepenuhnya.
Beliau berkata terma sekular itu sendiri perlu difahami dengan betul oleh masyarakat, kerana ia mempunyai konotasi negatif bagi ramai Muslim yang menganggapnya sebagai antiagama.
"Mengapa kita perlu terima sekularisme sepenuhnya sedangkan nilai keagamaan itu penting. Negara ada mempunyai elemen sekularnya tetapi nilai agama mesti diterapkan ke dalam sistem, ini pendirian kita (Malaysia).
"Ramai Muslim menganggap sekularisme sebagai sesuatu yang antiagama. Itulah sebab mengapa saya kata kami tidak sekular, saya merujuk kepada konteks itu," katanya pada satu sesi soal jawab di Persidangan Antarabangsa Undang-undang Malaysia 2023 di sini.
Jelas beliau, jika Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah negara sekular, ia akan menimbulkan persoalan tentang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, jabatan agama Islam dan peranan Sultan sebagai ketua agama di negeri-negeri.
Tegas Anwar, orang ramai perlu mempelajari dan fahami terma sekular bagi mengelakkan kisah dan wacana yang dibawa oleh mereka di bandar dan golongan elit juga sentimen orang awam terpisah.
コメント