Malaysia tuntut pembebasan serta-merta aktivis GSF
- nabalunews
- Oct 2
- 1 min read

2 Oktober 2025
PUTRAJAYA: Malaysia menuntut pembebasan serta-merta dan tanpa syarat semua aktivis, petugas kemanusiaan dan anak kapal dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) termasuk 12 rakyat Malaysia, serta pembebasan kapal-kapal mereka.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini menegaskan Malaysia turut menuntut supaya penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza dipastikan dapat dilakukan dengan selamat dan tanpa halangan.
“GSF merupakan inisiatif sah dan aman yang digerakkan untuk menyampaikan bantuan mendesak ke Gaza, ketika rakyat Palestin berdepan genosid, kebuluran, krisis kesihatan meruncing serta penderitaan berpanjangan.
“Misi ini bukan sahaja sah di sisi undang-undang antarabangsa malah merupakan kewajipan moral yang mesti dihormati dan dipertahankan oleh masyarakat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan setakat pukul 10 pagi tadi, seramai 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan dipintas tentera Israel di perairan Gaza
Kementerian itu yang turut dikenali sebagai Wisma Putra menyifatkan tindakan tanpa provokasi itu merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang maritim antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Sehubungan itu, tegasnya, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera dan konkrit serta menguatkuasakan undang-undang antarabangsa untuk menghentikan tindakan Israel.
Tindakan konkrit itu bagi memastikan rejim Zionis yang berterusan bebas daripada hukuman dipertanggungjawabkan atas pelanggaran undang-undang tersebut.
“Masyarakat antarabangsa tidak boleh lagi bertolak ansur terhadap pengabaian terang-terangan Israel terhadap norma dan prinsip sejagat.
“Malaysia kekal teguh menyokong penyelesaian adil, menyeluruh dan berkekalan, termasuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu lagi.


















Comments