Malek Razak dilantik Panglima Angkatan Tentera baharu
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 1 min read

31 Januari 2026
KUALA LUMPUR: Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) baharu berkuat kuasa esok.
Beliau dinaikkan ke pangkat Jeneral sebelum dilantik menjawat jawatan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan PAT baharu itu dibuat selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Pelantikan ini dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari lalu, dan seterusnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong semalam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PAT ke-24 itu memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies daripada King’s College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) daripada UKM.
Malek Razak memulakan perkhidmatan pada 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom dan ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
"Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi.
“Beliau memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja dan kemudiannya berkhidmat di pelbagai pasukan serta memegang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf,” katanya.
Tambahnya, jawatan terakhir disandang Malek Razak sebelum pelantikan ini ialah Panglima Medan Barat Tentera Darat
Menurut Mohamed Khaled, berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang dimiliki PAT baharu itu, Kementerian Pertahanan yakin pelantikan tersebut akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara.
“Pelantikan ini juga diyakini dapat memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” ujarnya.


















Comments