MCMC pandang serius salah guna SIM Box, kad SIM untuk tujuan jenayah
- nabalunews
- 17 minutes ago
- 1 min read

31 Januari 2026
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius penyalahgunaan peralatan telekomunikasi, termasuk peralatan SIM Box dan kad SIM, yang digunakan bagi tujuan jenayah serta aktiviti penipuan dalam talian.
Menurut MCMC, peralatan SIM Box serta penggunaan kad SIM secara pukal termasuk kad SIM asing sering disalahgunakan bagi penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital serta memudahkan penipuan dalam talian dan jenayah siber lain.
“Penyalahgunaan ini memberi ancaman kepada integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna,” kata suruhanjaya itu menerusi satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu, dalam satu operasi bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijalankan di Kajang baru-baru ini, sebanyak 50 peralatan SIM Box, 5,000 kad SIM dan kelengkapan berkaitan telah dirampas bagi tujuan siasatan.
Operasi dan siasatan diterajui sepenuhnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan siasatan oleh MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
“Kegiatan penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, membolehkan penjenayah mencipta akaun palsu bagi menjalankan penipuan serta jenayah dalam talian, sekali gus membahayakan keselamatan pengguna.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.
MCMC menegaskan, penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM untuk mencipta akaun palsu dalam talian merupakan ancaman serius kepada keselamatan negara.
Justeru, katanya, penyedia perkhidmatan telekomunikasi perlu memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM dalam menjamin keselamatan digital.
Pada masa sama, MCMC berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM dan agensi penguatkuasaan lain bagi mencegah jenayah siber serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.














