MAN Keningau akan saman Fahmi Reza
nabalunews

15 January 2025
Oleh Wartawan Nabalu News
KENINGAU: Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau akan mengeluarkan saman kepada pereka grafik kontroversi, Fahmi Reza, susulan penerbitan karikatur yang didakwa menghina Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Hj Aman.
Karikatur tersebut, yang tersebar luas di media sosial dan dilukis di beberapa lokasi awam, dianggap oleh pihak Mahkamah Anak Negeri sebagai satu penghinaan serius terhadap TYT Tun Musa serta masyarakat Sabah, khususnya komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM).
Ketua Daerah (KD) N40 Bingkor, OKK Daniel Palangi, yang mewakili Mahkamah Anak Negeri Keningau, memaklumkan bahawa keputusan untuk mengambil tindakan dibuat melalui mesyuarat khas para pemegang adat. Mesyuarat tersebut melibatkan Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), dan Ketua Kampung (KK) di daerah Keningau, di mana kesemua pihak bersetuju agar saman dikeluarkan terhadap Fahmi Reza.
“Mesyuarat sebulat suara bersetuju bahawa Mahkamah Anak Negeri Keningau perlu mengambil tindakan tegas mengikut adat dan peraturan yang termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah No. 13 Tahun 1992” jelas Daniel.
Menurutnya, saman tersebut bertujuan untuk menuntut "sogit" (pampasan adat) daripada Fahmi Reza kerana tindakan tersebut bukan sahaja mencemarkan imej TYT Tun Musa, tetapi juga menyinggung maruah masyarakat Sabah, terutamanya komuniti KDM.
Daniel turut menegaskan bahawa tindakan ini adalah selaras dengan hak dan status khas masyarakat Anak Negeri Sabah yang diiktiraf dalam Perlembagaan Malaysia melalui Perkara 161A, yang memberikan pengiktirafan kepada adat dan keistimewaan masyarakat peribumi Sabah.
“Surat saman akan dihantar kepada Fahmi Reza dalam masa terdekat, dan kami berharap tindakan ini menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak agar menghormati pemimpin dan adat masyarakat Sabah" katanya.
Tindakan oleh Mahkamah Anak Negeri Keningau ini dilihat sebagai usaha penting untuk mempertahankan kehormatan pemimpin negeri dan memelihara nilai-nilai adat istiadat masyarakat Sabah yang telah lama diwarisi.
Comments