Mangsa Kedua Bot Terbalik di Kota Belud Masih Hilang, Pencarian Diperhebat
- nabalunews
- Apr 20
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
20 April 2026
KOTA BELUD: Seorang lagi mangsa bot terbalik di muara Sungai Kampung Tamau Batu Gadung, Kota Belud masih belum ditemukan setakat pagi ini, Isnin, manakala seorang lagi mangsa yang hilang sebelum ini sudah disahkan maut.
Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Mohammad Iqram Jumaat, 23. Seorang lagi mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemukan oleh orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan disahkan terkorban.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang semalam, sebuah bot yang dinaiki lapan individu terbalik selepas dipukul ombak ketika mereka keluar memancing di muara sungai. Seramai enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dipercayai lemas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elgie Bakuk berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan seawal jam 8.05 pagi dengan kekuatan sembilan anggota dibantu agensi lain termasuk polis serta orang awam.
"Pasukan kami meneruskan pencarian di sekitar lokasi kejadian dengan menyusuri sepanjang tebing sungai dan kawasan muara. Keadaan liputan komunikasi yang terhad sedikit mencabar operasi, namun usaha giat terus dilaksanakan bagi mengesan mangsa yang masih hilang," katanya.
Operasi SAR kini giat dijalankan untuk mengesan mangsa yang masih belum ditemui.















Comments