top of page
Wartawan Nabalu News

Masalah air: Penduduk Sepanggar minta pengarah JANS letak jawatan



16 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu New


SEPANGGAR: Penduduk Sepanggar meminta Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Edward Lingkapo untuk meletakkan jawatan kerana sudah terlalu penat dengan masalah air di kawasan itu yang seakan-akan tidak diambil peduli.


Bermacam-macam yang sudah dilakukan oleh penduduk di situ untuk mendapat perhatian pihak tertentu seperti membuat rayuan, meminta liputan media, malah menggantungkan banner bagi mengetengahkan isu mereka, namun tetap tiada penyelesaian yang menyeluruh dari pihak JANS.


Difahamkan, penduduk di salah satu perumahan di kawasan ini sudah lima hari berturut-turut, malah ada yang berminggu, tidak mendapat bekalan air walau setitik pun.


Posting salah seorang penduduk di situ mendedahkan bahawa pam air loji Telibong mengalami kerosakan.


“Ada langkah pencegahan penyelenggaraan? Tiada plan B jika ada kerosakan? Perlu tiga minggu rakyat tiada air?


“Kepada pengarah (JANS), sila letak jawatan kalau tidak mampu pikul tanggungjawab,” kata penduduk itu.


“Sudah tahu tiada air, tidak lah pandai menghantar lori air, dibiar saja penduduk sampai berminggu-minggu kering di sana.


“Apa guna ada Jabatan Air, bagus pecat semua pekerja Jabatan Air itu,” kata seorang lagi penduduk.

Sebelum ini, beberapa penduduk Sepanggar seperti di University Apartment (UA) dan Taman Seri Maju Sepanggar telah menghubungi Nabalu News untuk menyatakan masalah mereka ini.


Menurut mereka, masalah air di kawasan itu memang sudah wujud sejak bertahun-tahun, namun ia semakin teruk sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.


Untuk mengatasi masalah bekalan air ini, kebanyakkan mereka sanggup membeli berkarton-karton air mineral untuk disimpan di rumah, mahupun menumpang di rumah kawan atau menyewa bilik hotel.


Walaupun sudah berkali-kali membuat aduan kepada JANS, alasan yang mereka terima seolah-olah pihak jabatan lepas tangan dengan masalah yang tidak berkesudahan itu.


Antara alasan yang sering diberi oleh jabatan itu adalah “juruteknik akan membuat pemeriksaan” atau “penyelenggaraan akan dilakukan.”


Baru-baru ini, pengarah jabatan itu menerima pingat Darjah Kebesaran Negeri Sabah, Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K) sempena hari jadi rasmi Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

ความคิดเห็น


bottom of page