Masih banyak jalan kampung DUN Kadamaian perlu perhatian: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Masih banyak jalan kampung DUN Kadamaian perlu perhatian: Ewon

Jalan Lobong Lobong - Gahui perlu dinaiktaraf untuk keselesasn penduduk kampung.

22 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick berkata, masih banyak jalan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian memerlukan perhatian kerajaan termasuk Jalan Gahui-Lobong Lobong iaitu laluan alternatif penduduk Kampung Kiau ke Pekan Kota Belud.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, keperluan menaiktaraf jalan-jalan perhubungan di DUN Kadamaian juga menjadi isu utama dan paling banyak diadukan oleh penduduk kampung.


“Selaku menteri dan Adun Kadamaian, aduan paling banyak saya terima ialah jalan raya yang masih bermasalah dan perlu diturap ataupun dinaiktaraf.

“Sebahagian besar jalan di Kadamaian masih dalam keadaan jalan gravel dan ini saya sedang usahakan untuk mendapatkan perhatian serta tindakan daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Rehabilitasi Ungka di Kiau Nuluh, di sini, kelmarin.


Ewon diminta mengulas keadaan Jalan Gahui-Lobong Lobong yang menjadi laluan alternatif penduduk Kampung Kiau Nuluh, Kg.Kiau Teburi dan Kiau Bersatu sementara menunggu kerja-kerja pembaikan jalan di Kg.Kiau Teburi.


Jalan Kiau KM3.85 Kota Belud ditutup sementara sejak 11 Januari sehingga 23 Januari ini untuk kerja-kerja pembaikan jalan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ewon bersama penduduk Kg.Kiau

Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kerana telah memasukkan tiga jalan utama di Kadamaian untuk program jalan luar bandar.


Beliau berkata, jalan itu ialah Tengkurus-Lahanas, Jalan Sayap-Mosulit dan Jalan Taginambur-Podos.


“Pihak kontraktor yang dilantik sudah pun memulakan kerja-kerja di lapangan bagi Jalan Tengkurus-Lahanas, manakala dua lagi jalan iaitu Jalan Sayap-Mosulit dan Jalan Taginambur-Podos saya percaya dalam masa terdekat, kontraktor yang akan dilantik itu memulakan kerja-kerja menaik taraf,” katanya.

Beliau berkata, selain tiga jalan berkenaan, masih banyak jalan luar bandar menghubungkan kawasan sekolah dan pelancongan memerlukan perhatian.


“Antaranya Jalan Koung, Lobong-Lobong dan Gahui iaitu laluan alternatif penduduk Kampung Kiau. Pada masa ini penduduk Kg.Kiau menggunakan jalan Lobong Lobong - Gahui sementara menunggu pembaikan jalan utama di Kampung Kiau.


“Penduduk kampung terpaksa menggunakan laluan alternatif itu walaupun keadaanya sangat mencabar dan sukar dilalui oleh kenderaan kecil,” katanya.


Sehubungan itu Ewon berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada pihak JKR termasuk Menteri Kerja Raya, Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia dan Ketua Menteri Sabah untuk tindakan selanjutnya.

“Kampung Kiau mempunyai beberapa pusat pelancongan tetapi kita tidak dapat menyediakan pakej pelancongan yang terbaik tanpa menyediakan jalan raya yang baik kepada pelancongan.


“Mereka (pelancong) boleh berpuas hati dengan pakej pelancongan tetapi sekiranya keadaan jalan raya agak teruk maka mereka akan tertumpu untuk memberi aduan tentang jalan raya daripada berkongsi produk pelancongan yang ada di kampung Kiau atau kampung-kampung lain di Kadamaian,” katanya.

bottom of page