top of page

Maxim, JAPEN Sabah perkukuh kerjasama strategik perkasa penyampaian maklumat

  • nabalunews
  • Apr 22
  • 1 min read

22 April 2026


PENAMPANG: Penyedia perkhidmatan e-hailing, Maxim Malaysia (Maxim) memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Negeri Sabah dalam usaha memperkasakan penyampaian maklumat kepada masyarakat.


Pengurus Pembangunan Maxim Sabah, Nazrin Muiz berkata, integrasi antara sektor swasta dan agensi kerajaan merupakan pemangkin utama dalam memastikan mesej serta dasar kerajaan dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada kumpulan sasar.


“Maxim melihat kolaborasi bersama agensi kerajaan sebagai elemen kritikal bagi memperluas capaian maklumat melalui pelaksanaan program kesedaran awam yang lebih berkesan.


“Kerjasama menerusi program komuniti, Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) serta kempen kesedaran awam berupaya memberi impak positif dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu nasional dan setempat,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Ibu Pejabat JAPEN di sini, pada Selasa.


Menurutnya, kunjungan tersebut bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan dua hala, malah menjadi platform penting untuk memahami fungsi jabatan berkenaan dalam mendepani cabaran ekosistem komunikasi semasa.


Mengulas perkembangan operasi Maxim di Sabah, Nazrin berkata jumlah rakan pemandu syarikat itu terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan sejajar dengan pembukaan pendaftaran secara berterusan kepada individu yang berminat.


“Sehubungan itu, Maxim sentiasa melaksanakan kemas kini data rakan pemandu secara berkala bagi memastikan kualiti perkhidmatan dan pertumbuhan platform kekal pada tahap optimum mengikut keperluan pasaran semasa,” katanya.


Beliau turut menegaskan komitmen Maxim untuk terus meneroka peluang kolaborasi strategik bersama JAPEN serta agensi kerajaan lain pada masa hadapan menerusi pelaksanaan inisiatif kesedaran awam yang lebih inklusif demi manfaat jangka panjang kepada komuniti.


Turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Azman Sipan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat JAPEN, Peter Tong Ah Pin; serta Pegawai Komunikasi Korporat Maxim, Shafiqah Shajari.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page