Mayat lelaki dipercayai dibaham buaya ditemui di Semporna
7 Disember 2024
SEMPORNA: Perjalanan pulang seorang lelaki menaiki perahu selepas memancing ikan di Sungai Pegagau, di sini berakhir tragedi apabila mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna, petang tadi, disyaki dibaham buaya.
Mangsa yang hanya dikenali Hadun, 40, ditemui oleh orang awam kira-kira jam 4.30 petang dalam keadaan mengerikan tanpa sebahagian anggota badannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 4.43 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama tiga jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk mengambil mayat mangsa.
“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi ditangguhkan pada jam 6.55 petang dan usaha mencari sebahagian anggota badan mangsa akan dibuat esok pagi.
Sebelum itu, katanya, BBP Semporna menerima panggilan berhubung seorang lelaki dikhuatiri hilang di sungai ketika pulang dari memancing.
“Menurut maklumat dari pemanggil mangsa dalam perjalanan pulang seorang diri menggunakan perahu, semalam sebelum dilaporkan tidak pulang ke rumah,” katanya.
留言