top of page
  • Wartawan Nabalu News

MCMC akan perluas peranti Starlink ke seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak


3 Sept 2023

By Wartawan Nabalu News


JOHOR BAHRU: Peranti satelit Starlink yang ditempah oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan dipasang di lebih banyak kawasan yang menghadapi masalah capaian Internet.


Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, MCMC telah menempah 30 peranti Starlink dan 10 daripadanya telah diperoleh.


Jelas beliau, empat daripada peranti tersebut telah dipasang di beberapa lokasi dan MCMC sedang mengenal pasti lokasi lain yang bersesuaian termasuk Sabah dan Sarawak yang memerlukan capaian Internet lebih baik.


"Kami akan bincang dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai dan memerlukan untuk kita pasang peranti ini. Semua ini belum dimuktamadkan lagi," beliau berkata demikian selepas melawat tapak pemasangan Starlink di Kampung Orang Asli Sungai Temon di sini pada Sabtu.


Menurut Teo, pemasangan peranti tersebut diharap menjadi penyelesaian sementara bagi lokasi yang tidak mempunyai akses atau capaian Internet lemah, sementara usaha untuk menambah baik capaian Internet dapat diteruskan.


Tambah beliau, kos satu unit Starlink adalah RM11,613 dan ia berfungsi sebagai Wi-Fi hotspot dengan liputan sekitar 100 meter.



bottom of page