MCMC fail tindakan sivil terhadap Edisi Siasat, Edisi Khas
- nabalunews
- Jun 20, 2025
- 1 min read

20 Jun 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan tindakan sivil terhadap dua saluran di platform Telegram, Edisi Siasat dan Edisi Khas selepas didapati melanggar peruntukan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
MCMC dalam kenyataan pada Rabu berkata, akaun terbabit didapati menyebarkan kandungan berpotensi menghakis kepercayaan terhadap institusi awam negara serta menjejaskan ketenteraman masyarakat.
“Tindakan ini merupakan yang pertama seumpamanya diambil terhadap penyedia platform media sosial, khususnya memandangkan Telegram merupakan pemegang lesen Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) [ASP(C)].
“Ia susulan kegagalan serius Telegram untuk menangani kandungan yang telah berulang kali dilaporkan kepada pihak mereka, walaupun pelbagai usaha rundingan dan kerjasama telah dilakukan oleh SKMM,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, berikutan tahap pematuhan yang tidak memuaskan, SKMM telah memohon dan berjaya memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi sebagai langkah terakhir.
“Ia bertujuan untuk menghentikan penyebaran kandungan memudaratkan tersebut serta menghalang penerbitan semula kandungan seumpamanya.
“Tindakan ini diambil demi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam terus dilindungi,” katanya.
Menurut SKMM, pihak Telegram akan diberikan ruang sewajarnya untuk mengemukakan pembelaan selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
Saluran terbabit sebelum ini sering berkongsi maklumat daripada orang ramai mengenai kegiatan perjudian serta amalan yang didakwa rasuah membabitkan anggota dan pegawai penguat kuasa.
“Sebagai badan kawal selia, SKMM mengingatkan semua penyedia platform media sosial bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan di ruang digital masing-masing.
"SKMM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sama terhadap platfform lain juga bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna terus terpelihara," katanya.















Comments