top of page

MCMC ingatkan orang awam jangan tertipu dengan e-mel gunakan nama pengerusi

nabalunews

5 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Orang awam diingatkan untuk tidak terperdaya dengan e-mel yang mendakwa bahawa pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) boleh membantu mereka mendapat hadiah wang tunai daripada sebuah syarikat telekomunikasi.


MCMC dalam kenyataan menafikan dakwaan bahawa pengerusi suruhanjaya itu terlibat dalam menghantar e-mel penipuan yang menjanjikan hadiah wang tunai daripada sebuah syarikat telekomunikasi.


Jelas MCMC, e-mel berkenaan adalah palsu dan bertujuan untuk menipu orang awam dengan mengambil butiran peribadi dan perbankan mereka.


“E-mel tersebut mendakwa bahawa penerima boleh mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 daripada syarikat Telekom Malaysia jika mereka memberi maklumat akaun bank mereka kepada penghantar e-mel.


“Orang awam juga dinasihatkan untuk tidak memberi maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, kata laluan perbankan Internet dan lain-lain kepada individu yang tidak dikenali,” tambah kenyataan itu.


MCMC juga menggesa orang awam yang telah terlibat dalam transaksi perbankan dengan penghantar e-mel tersebut untuk segera melaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.


“Kami ingin menegaskan bahawa pengerusi MCMC tidak pernah menghantar sebarang e-mel kepada orang awam untuk membantu memindahkan hadiah wang tunai daripada mana-mana syarikat telekomunikasi,” tegas kenyataan itu.


MCMC berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan nama dan jawatan pengerusi suruhanjaya itu untuk tujuan penipuan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page