Kerajaan tumpu usaha perkasa peranan suami - Noraini
- nabalunews
- 2 days ago
- 2 min read

3 September 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan menumpukan usaha memperkasa peranan suami termasuk mereka yang bertindak sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa seiring perubahan dinamik sosial dan peningkatan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pemerkasaan peranan lelaki dan wanita dalam pembangunan negara diberi keutamaan sebagai langkah strategik ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih saksama serta progresif.
“Pelbagai inisiatif dilaksanakan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) termasuk Program Kesejahteraan Lelaki serta Program Pemerkasaan dan Kesejahteraan Lelaki (Budiman).
“Program ini memberi penekanan kepada tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga, pembimbing moral dan penyumbang kepada keharmonian masyarakat dan setakat Julai lalu, ia telah menarik penyertaan 15,516 lelaki di seluruh negara
“Selain itu, Modul Kebapaan turut dibangunkan hasil kerjasama LPPKN bersama ahli akademik, agensi kerajaan dan NGO sebagai panduan kepada para bapa dalam memainkan peranan mereka secara lebih berkesan dan berempati dalam keluarga,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Nelson Wences Angang mengenai rancangan kerajaan untuk memperkenalkan inisiatif seperti i-Suri bagi membantu suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa.
Noraini berkata, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 sudah mewujudkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri untuk memberi perlindungan kepada individu yang bekerja sendiri.
Menurutnya, skim ini turut boleh disertai oleh suami yang berperanan sebagai pengurus rumah tangga sepenuh masa yang juga bekerja sendiri dalam usaha menjana pendapatan keluarga.
"Perlindungan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ini telah diperluaskan kepada 20 sektor yang layak mendapat perlindungan contohnya seperti perniagaan dalam talian dan teknologi maklumat.
"Individu bekerja sendiri termasuk suami yang mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman," katanya.
Sementara itu, Noraini turut menjawab soalan tambahan Nelson yang ingin tahu apakah langkah diambil bagi menangani isu penderaan fizikal dan mental terhadap golongan lelaki yang dikatakan semakin ketara.
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) prihatin terhadap isu keganasan terhadap golongan lelaki walaupun akuinya, ia kurang dilaporkan.
Menurutnya, kes keganasan rumah tangga disiasat mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) terpakai kepada wanita dan lelaki.
“Kementerian turut menubuhkan Jawatankuasa Keganasan Rumah Tangga pada 2019 bagi menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan, selain memperkukuh usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan lelaki dalam isu berkenaan,” katanya.
Comments