Kadar sewa premis perniagaan agensi kerajaan dikurangkan
- nabalunews
- 4 hours ago
- 1 min read

5 Mei 2026
PUTRAJAYA: Kerajaan mengarahkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan milik agensi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) berkuat kuasa serta-merta bulan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini bagi membantu peniaga kecil yang terkesan dengan krisis bekalan global ketika ini.
"Saya fikir langkah pertama yang harus dilakukan ialah mengurangkan kadar sewa. Kebanyakan kedai ini dimiliki oleh syarikat kerajaan atau agensi kerajaan seperti MARA dan UDA.
“Mulai bulan ini juga, kadar sewa di semua premis perniagaan mereka akan dikurangkan dan diumumkan dalam masa terdekat," katanya menerusi sidang akhbar Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.
Sehubungan itu, Anwar menggesa kerajaan negeri termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikuti langkah sama seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sudah menurunkan kadar sewaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari kerana telah menyambut inisiatif itu secara positif.
“Tentunya ini bidang kuasa PBT dan kerajaan negeri yang lain dan saya ingin menggesa mereka menurunkan kadar segera dan berkuat kuasa bulan ini juga, bagi mengurangkan tekanan dan beban yang sememangnya dihadapi oleh peniaga dan penjaja,” katanya.















Comments