top of page

Program Jualan Rahmah Madani dilaksana di semua DUN setiap minggu

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

5 Mei 2026


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penganjuran Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ditingkatkan kepada setiap minggu di kesemua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara.


Beliau berkata, penambahan kekerapan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat, ketika negara berdepan kenaikan harga barangan akibat krisis global.


Menurutnya, inisiatif kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu menyasarkan sebanyak 30,000 program diadakan tahun ini.


"Untuk tahun lalu lebih 25,000 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan melibatkan semua kawasan DUN di seluruh negara. Bagi 2026, kerajaan mengumumkan 30,000 Jualan Rahmah, melibatkan semua DUN dan diadakan secara mingguan.


"Dengan cara ini, pembeli dapat kepastian barangan di mana boleh dibeli dan pada hari serta jadual yang tetap," katanya pada Sidang Media Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.


Mengulas lanjut, Anwar berkata pelaksanaan program berkenaan tidak seharusnya tertumpu di kawasan pinggir bandar sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan ke kampung terpilih.


Tambah beliau, keutamaan juga perlu diberikan kepada penyertaan peniaga kecil bagi memastikan golongan itu turut mendapat manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan kerajaan.


"Kita tidak mahu ini jadi satu gelanggang untuk syarikat-syarikat besar tetapi untuk memastikan faedah daripada PJRM ini memberi kesempatan kepada peniaga kecil menjual barangan mereka dengan kadar lebih murah," katanya.


Dalam pada itu, Anwar berkata Mesyuarat Jemaah Menteri akan terus meneliti serta mencari beberapa ikhtiar baharu bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page