KUSKOP perkasa SDSI bangunkan produk tempatan: Ewon
- nabalunews
- Sep 4
- 2 min read

4 September 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan terus memperkasa Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) sebagai pemacu pembangunan produk tempatan berasaskan identiti daerah, sekali gus meningkatkan daya saing usahawan di pasaran.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, KUSKOP sentiasa terbuka menerima pandangan dan cadangan bagi menambah baik pelaksanaan program keusahawanan termasuk SDSI.
“Cadangan transformasi SDSI kepada Program Satu Mukim Satu Industri adalah baik, namun ia perlu diteliti secara strategik agar benar-benar memberi impak tinggi serta inklusif kepada pembangunan industri tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) di Dewan Negara, kelmarin.
Ewon berkata, selaras dengan Garis Panduan Pelaksanaan SDSI Versi 2.0, KUSKOP bersama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah menyediakan Rangka Kerja Pembangunan Produk SDSI dengan kerjasama kerajaan negeri.
Katanya, rangka kerja itu meliputi pemilihan industri berpotensi, pembangunan kapasiti, penjenamaan, pembungkusan, pensijilan hingga ke pemasaran bagi memperkasakan lagi produk tempatan.
“Melalui pelaksanaan SDSI di bawah RMK-12, sebanyak 22 produk berjaya didaftarkan termasuk beberapa daripadanya mendapat pensijilan Halal. Majoriti usahawan turut mencatatkan peningkatan jualan melebihi 20 peratus selepas menyertai program ini,” katanya.
Ewon menambah, KUSKOP juga aktif menganjurkan program dan pameran seperti Karnival 3 Dimensi di MITEC, Kuala Lumpur serta Showcase SDSI Peringkat Wilayah Timur 2025 di Kuala Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri dan agensi berkaitan.
“Penganjuran ini memperkukuhkan rantaian perniagaan usahawan tempatan dengan pemain industri dalam dan luar negara, selain membuka akses kepada promosi, pemasaran serta peluang pembiayaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, cadangan kempen Mukim Maju Malaysia Maju yang memberi fokus kepada pemerkasaan produk tempatan termasuk SDSI adalah selari dengan komitmen KUSKOP untuk mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.
“Langkah ini seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI dan RMK-13 yang menekankan kepada pengukuhan daya saing produk tempatan serta memperluas peluang usahawan menembusi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.
Beliau menegaskan, KUSKOP akan terus mempertingkatkan kualiti produk usahawan tempatan melalui program seperti Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan (BAP) oleh SME Corp serta bimbingan pembangunan produk oleh INSKEN.
Sementara itu mengenai cadangan supaya dana sokongan disalurkan kepada usahawan luar bandar di kawasan jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Ewon berkata, KUSKOP komited memastikan golongan berkenaan turut menerima manfaat daripada projek kerajaan berskala besar.
Beliau berkata, walaupun penyewaan ruang niaga di stesen ECRL tertakluk kepada Kementerian Pengangkutan serta pihak berkuasa negeri dan tempatan, namun agensinya seperti TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan skim pembiayaan sehingga RM100,000 bagi membantu usahawan memulakan perniagaan.
“Selain pembiayaan, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) turut menawarkan latihan dan bimbingan keusahawanan bagi meningkatkan pengetahuan dalam aspek pemasaran, pengurusan dan kewangan,” katanya.


















Comments