MCMC peroleh penghakiman ingkar terhadap pentadbir Telegram Edisi Siasat, Edisi Khas
- nabalunews
- 2 hours ago
- 1 min read

14 November 2025
CYBERJAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Penghakiman Ingkar Pembelaan terhadap pentadbir-pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas.
Keputusan itu berikutan kegagalan mereka untuk memasukkan kehadiran dan pembelaan terhadap tindakan guaman yang difailkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut MCMC, melalui keputusan tersebut, mahkamah mengeluarkan beberapa perintah penting termasuk deklarasi bahawa pentadbir Edisi Siasat dan Edisi Khas telah membenarkan kandungan memudaratkan diterbitkan serta diedarkan terhadap pihak terkilan iaitu institusi awam dan pegawai awam di Malaysia.
“Mahkamah turut memberikan injunksi mandatori yang mengarahkan pentadbir kedua-dua saluran tersebut untuk menurunkan serta-merta secara kekal semua kandungan berunsur palsu, mengancam dan memudaratkan lain yang telah diterbitkan.
“Selain itu, mahkamah turut mengeluarkan injunksi larangan yang menghalang pentadbir atau mana-mana ejen, pekerja dan sekutu mereka daripada menerbitkan semula, menyebarkan kandungan yang sama,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan pada Jumaat.
MCMC memaklumkan injuksi larangan itu juga menghalang penerbitan kandungan baharu serupa yang memudaratkan.
Dalam pada itu katanya, mahkamah juga telah memerintahkan taksiran ganti rugi bagi menentukan ganti rugi am dan gantirugi teladan pada tarikh akan datang.
Menurut MCMC, keputusan itu menegaskan prinsip kebebasan bersuara di platform dalam talian tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan penyebaran fitnah, ugutan, pemerasan atau maklumat palsu yang boleh menjejaskan reputasi individu, keselamatan awam dan keharmonian masyarakat.


















Comments