MDPPg akan ambil tindakan kerosakan jambatan gantung Kg.Dungkahang

13 Jan 2022
Oleh Wartawan Nabalu New
PENAMPANG: Majlis Daerah Penampang (MDPPg) akan mengambil tindakan segera aduan kerosakan jambatan gantung di Kampung Dungkahang di sini.
Pegawai Daerah Penampang Francis Chong berkata, Bahagian Teknikal akan mengadakan pemeriksaan dan mengambil maklumat untuk tindakan lanjut.
“Bahagian Teknikal akan ke sana (Kg.Dungkahang) untuk memeriksa seterusnya mengambil maklumat yang perlu untuk tindakan seterusnya. Baru hari ini (kelmarin) saya menerima aduan ini (kerosakan jambatan gantung),” katanya menerusi Whatsapp kepada Nabalu News, kelmarin.
Pada Selasa, Nabalu News melaporkan aduan seorang penduduk Kampung Dungkahang Penampang Proper meminta pihak kerajaan membaiki jambatan gantung itu yang rosak lebih setahun lalu.
Menurut penduduk kampung itu, jambatan gantung merentasi Sungai Moyog itu biasanya digunakan oleh penduduk kampung yang tidak mempunyai kenderaan untuk pergi kerja di Pekan Donggongon.
"Penduduk kampung yang tidak mempunyai kenderaan biasanya melalui jambatan gantung ini sebagai jalan pintas ke Pekan Donggongon kerana tiada bas (pengangkutan awam), tambang grab mahal, bukan semua mampu naik grab setiap hari," katanya.
Comments