top of page
  • nabalunews

Media sosial berlesen: Penyedia perkhidmatan, platform bersetuju secara dasar - Fahmi

3 Ogos 2024


CYBERJAYA: Beberapa penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial di negara ini secara dasar bersetuju untuk dilesenkan seperti mana ketetapan diumumkan kerajaan, baru-baru ini.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ia boleh disahkan berdasarkan pertemuan bersama platform berkenaan di Singapura pada Rabu lalu.


Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini tiada perkhidmatan dan platform media sosial menghantar permohonan untuk mendapatkan lesen, berikutan pengumuman Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru dilakukan Khamis lalu.


"Saya baru sahaja pulang dari Singapura untuk bertemu semua plaform berkenaan dan saya percaya berdasarkan pertemuan dan perbincangan itu, mereka sudah menyatakan kesediaan secara dasar untuk dilesenkan.


"Mereka bersedia dan memahami Malaysia adalah pasaran yang sangat penting kerana rakyat kita sendiri menggunakan 30 ke 50 gb (gigabait). Ia satu jumlah besar berbanding negara lain," katanya selepas merasmikan Sidang Anak Muda K2K sempena hari kemerdekaan di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan keputusan kerajaan untuk melesenkan penyedia perkhidmatan internet dan media sosial adalah untuk kebaikan rakyat Malaysia.


"Kita mahu semua rakyat menikmati internet lebih laju, murah dan meluas. Paling penting ia selamat untuk rakyat Malaysia," katanya.


Ditanya apakah Malaysia akan mengambil tindakan tegas kepada media sosial yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan seperti dilakukan Turkiye dan Bangladesh, Fahmi menjelaskan mereka tidak berhasrat untuk berbuat demikian termasuk langkah penutupan platform itu.


"Selagi mana platform akur dengan undang-undang kita kita tidak berhasrat berbuat sedemikian.


"Apa yang kita laksanakan ini kerana kita melihat jenayah hari ini mula beralih ke laman siber. Sebagai contoh ada bayi yang dijual di laman TikTok dan bila kita tanya platform itu, barulah mereka mahu ambil tindakan," katanya.


Beliau berkata, selain aspek pelesenan, kerajaan hari ini juga sedang berusaha menggubal beberapa perundangan berkaitan untuk memastikan keselamatan dalam penggunaan internet terjaga.

Comments


bottom of page