• nabalunews

MEMPOLITIKKAN ISU AGAMA DAN ISU-ISU SENSITIF BUKAN BUDAYA SABAH



17 Jun 2021


Kecaman dari pelbagai pihak yang diterima oleh PAS Sabah berhubung dengan isu pengasingan troli di pasar raya bukanlah disebabkan rakyat Sabah tidak memamhami atau tidak menghormati agama tertentu.


Masyarakat pelbagai etnik dan pelbagai anutan agama di Sabah terkenal dengan semangat toleransi, saling hormat-menghormati dan hubungan persaudaraan kuat sejak turun temurun. Kecaman dari pelbagai pihak yang diterima oleh PAS Sabah ini merupakan manifestasi bahawa amalan mempolitikkan isu-isu berkaitan agama dan isu-isu sensitif yang lain bukan merupakan budaya masyarakat di Sabah.


Dilaporkan bahawa ramai nitizen mengecam tindakan PAS Sabah mensensasikan isu seperti ini termasuklah reaksi parti-parti politik. Timbalan Ketua Bahagian UPKO Keningau, Kennedy John, menyelar PAS Sabah kerana menimbulkan isu troli di pasar raya ini kerana ianya boleh mengundang ketidakharmonian rakyat berbilang kaum di negeri ini.


Perkara ini turut dikecam oleh Puan Nancy Lau, Timbalan Ketua Wanita UPKO Bahagian Keningau yang juga juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UPKO. Naib Presiden PBS, Datuk Johnny Mositun baru-baru ini turut menyelar tindakan pihak yang cuba memperbesarkan isu berkenaan kerana isu troli itu sudah pun selesai sebelum itu.


Perkara ini telah juga turut dipersoal dan diselar oleh Pemuda DAP Sabah. Sementara itu, Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun menegaskan bahawa tindakan perwakilan PAS ini memecahbelahkan rakyat melalui ketaksuban agama dan bukannya mempromosikan keunikan Sabah di mana umat Islam dan bukan Islam hidup bersama secara harmoni. Bagaimanapun, tindakan perwakilan PAS Sabah mempolitikkan isu troli ini disokong dan dipertahankan oleh SAPP dan STAR.


Isu agama dan isu-isu sensitif tidak wajar dijadikan modal politik. Tindakan mempolitikkan isu berkaitan agama tidak boleh diambil ringan dan perlu dihentikan sebelum bertambah parah dan melarat. Pendekatan politik seperti ini jika tidak ditangani dengan betul akan menggugat keharmonian dan perpaduan yang kita nikmati selama ini.


Bukankah PAS Sabah merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah dan juga kerajaan Persekutuan? Walaupun pengasingan troli ini perlu dilakukan, mestikah perkara ini disensasikan demi untuk mileage politik? Bukankah perkara ini boleh diselesaikan dengan hanya memaklumkan semua PBT di Sabah untuk menasihati semua pengusaha pasar raya untuk buat pengasingan troli tanpa membuat kenyataan yang mengundang ketegangan? Sudah tentu, sebagai YB ADUN dilantik mewakili kerajaan, beliau berada dalam kedudukan yang boleh membuat perubahan amalan pengasingan troli ini tanpa memperbesar-besarkan perkara ini.


Janganlah hendaknya amalan Politik import ini menggugat keharmonian, toleransi dan perasaan saling menghormati sesama kita. Semangat persaudaraan kita ini merupakan warisan keramat dari nenek moyang. Kita yakin rakyat memerhati dan menilai. Sudah pasti rakyat Sabah menolak pendekatan politik keterlaluan kerana ianya bukan budaya dan amalan kita di Sabah.


Encik Joisin Romut

Ketua Penerangan

Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)