top of page

Menara Penghantaran Talian Tumbang Punca Gangguan Elektrik- Sabah Electricity

  • nabalunews
  • Sep 14
  • 2 min read

ree

14 September 2025


KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) mengesahkan gangguan bekalan elektrik di pantai timur Sabah, semalam, berpunca daripada kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.


Kejadian yang memutuskan bekalan elektrik melibatkan enam daerah berkenaan disebabkan salah satu menara penghantaran talian 275 kilovolt (kV) tumbang.


Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity), Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, insiden yang berlaku pada jam 5.05 petang itu menjejaskan penghantaran tenaga dari pantai barat ke pantai timur.

ree

Katanya, ia mengakibatkan kira-kira 230,000 pengguna di Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Beluran dan Kinabatangan terkesan.


“Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan tanah runtuh dan menumbangkan menara penghantaran berhampiran Pencawang Masuk Utama (PMU) Kolopis yang menjadi laluan utama tenaga dari Kimanis dan Sepanggar ke pantai timur.


“Akibatnya, berlaku kehilangan kapasiti bekalan sebanyak 242 megawatt,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan terjejas, hari ini.

ree

Menurutnya, sebaik kejadian berlaku, pasukan teknikal Sabah Elektricity digerakkan dan usaha untuk menghidupkan semula talian dilakukan dua kali namun gagal kerana kerosakan kekal akibat struktur menara runtuh.


Sehubungan itu, Mohd Yaakob menjelaskan SE mengambil tiga langkah segera bagi memulihkan bekalan iaitu bypass sementara iaitu dalam tempoh dua hari, litar akan dialihkan bagi menyalurkan bekalan terus dari Kimanis ke Sandakan.


Selain itu katanya, pembinaan menara kecemasan (Emergency Restoration System) iaitu pemasangan menara sementara juga dijangka siap dalam tempoh lapan hari untuk memastikan kestabilan sistem.


“Langkah ketiga ialah pembinaan menara kekal iaitu penggantian struktur menara yang tumbang akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan.


“Dalam tempoh dua hari pertama, seramai kira-kira 70,000 pengguna di pantai timur akan terlibat dengan penjadualan bekalan secara bergilir (load shedding) terutama ketika waktu puncak.


“Selepas itu, bekalan akan stabil apabila menara kecemasan beroperasi,” jelasnya.


Mohd Yaakob turut memaklumkan SE akan membahagikan sistem grid kepada ‘Sandakan Island’ dan ‘Tawau Island’ dengan mengaktifkan stesen jana kuasa tempatan, termasuk Independent Power Producer (IPP) di Sandakan dan Tawau, namun kapasiti masih terhad.


“Sandakan island termasuk Kinabatangan, Beluran manakala Tawau island melibatkan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.


“Selain itu, bantuan pengangkutan udara dari Sabah Air iaitu sebuah helikopter digunakan bagi meninjau kawasan cerun berisiko tinggi untuk langkah pencegahan susulan.


“Cabaran utama kami adalah faktor geografi, hujan berterusan dan akses jalan terhalang akibat tanah runtuh serta pokok tumbang. Namun, pasukan teknikal tetap berusaha siang malam untuk mempercepatkan kerja pemulihan,” katanya.


Sehubungan itu, Mohd Yaakob menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, agensi berkaitan dan pengguna yang memahami keadaan kerana gangguan ini berpunca daripada bencana alam yang tidak dapat dielakkan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page