top of page

MENTARI SABAH SEDIA BANTU RAWAT PESAKIT ALAMI MASALAH MENTAL

  • nabalunews
  • Dec 17, 2020
  • 2 min read

17 DIS 2020


KOTA KINABALU: Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI) di sini sentiasa bersedia membantu dan 'membuka pintu' kepada orang ramai, untuk mendapatkan rawatan berkaitan masalah kesihatan mental.

Pakar Psikiatri Hospital Mesra Bukit Padang Dr Lee Sze Chet berkata antara perkhidmatan yang disediakan termasuklah, perkhidmatan pesakit luar, psikiatri komuniti dan program rehabilitasi, bagi membantu proses pemulihan pesakit psikiatri.

“Menghidap masalah kesihatan mental tidak bermaksud masa depan gelap, kerana masih ada peluang untuk pesakit itu menjalani kehidupan yang normal semula. “Oleh sebab itu sokongan masyarakat, keluarga dan rawatan lebih teratur serta latihan kemahiran, mampu memberi peluang kepada pesakit itu untuk hidup berdikari, malah bekerja seperti orang normal dan menyara kehidupan sendiri,” katanya kepada Bernama.

Dr Lee berkata perkhidmatan MENTARI juga bertujuan mengurangkan jangka masa rawatan di wad, membuat intervensi rawatan susulan di rumah selepas konsultasi dengan pakar, dan membuat penilaian psikososial.

Dr Lee berkata MENTARI berteraskan kepada komuniti untuk memperbaiki tahap kesihatan mental penduduk turut menyediakan program sokongan iaitu, membantu pesakit yang mencari pekerjaan.

Bersesuaian dengan fungsinya, Dr Lee berkata MENTARI sentiasa mendekati masyarakat dengan pelbagai pendekatan, antaranya mengadakan aktiviti melalui media sosial seperti di Facebook, radio, ceramah di klinik kesihatan Kota Kinabalu dan ceramah dalam talian.

Beliau yang telah diberi tanggungjawab mengendalikan MENTARI sejak Jun lepas berkata, merujuk kepada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 menunjukkan, sebanyak empat peratus penduduk Sabah mengalami masalah kemurungan, yang merupakan antara penyakit mental.

Oleh itu isu masalah kesihatan mental tidak harus dilabel sebagai 'gila', malah stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap pesakit juga antara faktor, menyukarkan orang ramai mendapatkan rawatan awal.


“Pesakit mental juga perlu dirawat seperti pesakit masalah fizikal. Orang ramai tidak perlu rasa malu dan beranikan diri untuk mendapatkan bantuan, kerana penyakit mental masih boleh dirawat dan sembuh,” katanya.

Malah beliau turut berkongsi tips untuk kesihatan mental, antaranya termasuk berhubung dengan orang tersayang atau kawan, melalui platform yang sedia ada.

Selain itu melakukan aktiviti senaman, bercakap dengan seseorang yang dipercayai tentang kebimbangan dan perasaan yang dialami, serta rehatkan diri dari media sosial jika rasa tertekan.

Katanya individu yang memerlukan rawatan atau mahu mendapatkan ujian saringan masalah kesihatan, boleh menghubungi di talian 088240984 untuk mengadakan janji temu.

Dalam pada itu Dr Lee berkata MENTARI di Sabah telah diwujudkan pada Januari 2015, sebelum mula beroperasi pada April tahun yang sama dan diletakkan di bawah kendalian Hospital Mesra Bukit Padang.

MENTARI pertama telah diwujudkan di Putrajaya pada 2012 dan dikenali sebagai Pusat Kesihatan Mental Masyarakat dan kini nama MENTARI telah digunakan sebagai alternatif.

'MENTA' berasal dari perkataan ‘mental’ dan ‘RI’ dari psikiatri, merupakan pusat komuniti yang dijaga di bawah Jabatan Psikiatri hospital-hospital kerajaan Kementerian Kesihatan Malaysia. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page