"Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian": Majlis Kaamatan Kampung Nahaba Jadi Lambang Kesyukuran & Perpaduan Masyarakat
- nabalunews
- 10 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
29 Mei 2026
KOTA BELUD: Majlis Kaamatan Kampung Nahaba yang berlangsung semalam di Dewan Tamu Desa Kampung Nahaba berlangsung dalam suasana yang meriah dan penuh keakraban.
Program itu dirasmikan oleh Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) bagi Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Fandhy Rajin, yang mewakili Timbalan Ketua Menteri III, Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Dalam ucapan beliau, Fandhy menegaskan bahawa Pesta Kaamatan bukan sekadar perayaan tradisi, tetapi lambang kesyukuran atas hasil tuaian, simbol perpaduan masyarakat serta warisan budaya yang amat bernilai dan perlu dipelihara oleh generasi masa kini dan akan datang.

Beliau turut menyatakan bahawa tema Kaamatan tahun ini, iaitu "Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian" atau dalam bahasa Kadazandusun "Mengomot Pisompuruan Mamaramai Piunungan", amat tepat menggambarkan kehidupan masyarakat Sabah yang hidup aman, harmoni dan saling menghormati walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya. Keunikan inilah yang menjadi kekuatan rakyat Sabah sejak dahulu lagi.
Menurut beliau, di kampung seperti Kampung Nahaba inilah lahirnya semangat kebersamaan, budaya gotong-royong serta nilai kekeluargaan yang perlu terus dipertahankan kerana semangat ini menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa Ewon sentiasa menekankan bahawa pembangunan masyarakat luar bandar bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan fizikal dan ekonomi, tetapi juga pembangunan sosial, perpaduan komuniti serta pemeliharaan adat dan budaya masyarakat tempatan.

Fandhy seterusnya menghargai usaha dan komitmen semua pihak termasuk jawatankuasa penganjur, para belia, sukarelawan dan seluruh penduduk kampung yang bersama-sama menjayakan sambutan Kaamatan ini dengan penuh semangat dan kerjasama.
Beliau percaya program seperti ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim sesama masyarakat, tetapi juga menjadi platform penting untuk memperkenalkan budaya dan identiti masyarakat Kadazandusun kepada generasi muda agar warisan ini terus dihargai dan tidak dilupakan.
Beliau sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh jawatankuasa penganjur dan penduduk Kampung Nahaba atas kejayaan menganjurkan sambutan tersebut dan berharap sambutan Kaamatan tahun ini membawa keberkatan, memperkukuhkan perpaduan serta memelihara keharmonian masyarakat.
Antara program menarik yang dijalankan sepanjang majlis ialah pertandingan masakan tradisi, pertandingan bina badan kanak-kanak, pertandingan Unduk Ngadau Kanak-Kanak, dan pertandingan nyanyian (Sugandoi). Selain itu, komuniti setempat turut mengambil peluang mengadakan jualan gerai sepanjang pesta berlangsung.















Comments