top of page

MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan di Sarawak, Sabah, dan Labuan hingga esok

nabalunews


21 Disember 2024

 

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan di Sarawak, Sabah, dan Labuan dijangka mengalami hujan berterusan hingga esok.

 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan, mengeluarkan amaran tahap buruk dan waspada bagi kawasan-kawasan terlibat. 

 

Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, sistem tekanan rendah yang terbentuk di perairan Sarawak semalam dijangka berkembang menjadi lekukan tropika dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

 

"Keadaan ini boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan, angin kencang, dan laut bergelora di Sarawak, WP Labuan, Sabah serta perairan Laut China Selatan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Amaran hujan berterusan tahap buruk melibatkan kawasan Mukah, Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri, dan Marudi), serta Limbang di Sarawak. Di Sabah, amaran itu terpakai di pedalaman Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, dan Beaufort, serta seluruh Labuan. 

 

Bagi tahap waspada pula, kawasan yang terlibat di Sarawak termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah (Tanjung Manis, Daro, Matu, dan Dalat), serta Kapit (Song dan Kapit). Di Sabah, kawasan Pedalaman (Nabawan, Keningau, dan Tambunan), Pantai Barat, Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, dan Sandakan), serta Kudat turut menerima amaran ini. 

 

Tambah beliau, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga 24 Disember, yang berpotensi memperhebatkan keadaan cuaca. Sehubungan itu, amaran angin kencang dan laut bergelora juga dikeluarkan hingga tarikh tersebut. 

 

Orang ramai disarankan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, atau media sosial rasmi MetMalaysia.

 

"MET Malaysia akan mengemas kini nasihat dan amaran tersebut dari semasa ke semasa berdasarkan situasi terkini," jelas beliau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page