MetMalaysia ramal MTL capai kemuncak hujung November hingga Januari depan
8 November 2024
CYBERJAYA: Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh dijangka mencapai tahap kemuncak mulai hujung November ini hingga Januari tahun depan, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata berdasarkan situasi itu, ramalan jangka panjang kebanyakan model menunjukkan taburan hujan diterima lebih 20 hingga 40 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, negeri di utara yang bersempadan dengan Thailand dijangka menerima hujan lebih sedikit daripada purata taburan hujan, bermula akhir November ini hingga Januari tahun depan, manakala Sabah pula diramalkan lebih lama hingga Februari atau Mac.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, potensi banjir bergantung pada jumlah milimeter (mm) hujan yang diterima dalam tempoh masa tertentu.
“Sebagai contoh, sebuah negeri dijangka menerima 800mm atau 1,000mm hujan dalam sebulan tetapi jumlah itu berlaku dalam tempoh beberapa hari saja, maka akan menyebabkan berlaku banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi MTL 2024/2025, di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) Pulau Meranti, Puchong, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai amaran untuk tidak turun ke laut akibat ombak kuat, Mohd Hisham berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa dan pihaknya hanya memberikan nasihat.
“Buat masa ini, angin timur laut belum lagi bertiup kencang. Oleh itu, saya rasa keadaan ombak belum berbahaya lagi untuk aktiviti laut.
“Namun, kita akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengulas mengenai myCuaca pula, Mohd Hisham berkata, lebih 200,000 pengguna telah memuat naik aplikasi itu yang menjadi rujukan semasa kepada pengguna.
“Segala maklumat terkini berhubung cuaca akan dimaklumkan dalam myCuaca, malah turut dikongsi berkaitan situasi laut dan gempa,” katanya.
Commenti