top of page
nabalunews

MIHAS 2024 Capai Jualan RM4.3 Bilion, Peningkatan 34 Peratus Berbanding 2023



26 September 2024


KUALA LUMPUR: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 mencapai jualan berjumlah RM4.3 bilion, peningkatan 34 peratus berbanding RM3.2 bilion yang dicatatkan pada 2023, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).


MATRADE berkata peningkatan itu dipacu oleh hasil pertanian yang menyumbang bahagian jualan terbesar tahun ini sebanyak 26.3 peratus.


Ini diikuti oleh makanan siap sebanyak 26.1 peratus, minuman sebanyak 12.5 peratus dan sektor pesat membangun seperti farmaseutikal, peralatan mandian, kosmetik serta bekas dan pembungkusan yang turut menjadi antara penyumbang terbesar pameran itu.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pencapaian itu mencerminkan sumbangan positif MIHAS kepada objektif Pelan Induk Industri Halal (HIMP 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).


"Selain pencapaian jualan RM4.3 bilion itu, perkara yang sama penting ialah bagaimana MIHAS memupuk kerjasama awam-swasta selanjutnya untuk terus mengukuhkan ekosistem industri halal kita dan membantu lebih banyak syarikat Malaysia pergi ke peringkat global.


“Dengan kemunculan sulung MIHAS@Dubai pada November ini, kami menjangkakan industri halal Malaysia akan terus berkembang di pasaran Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), yang menempatkan kira-kira 20 peratus penduduk Islam dunia,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata trajektori jualan tahun ini menyerlahkan peranan MIHAS dalam mengukuhkan hubungan dagangan antarabangsa bagi perniagaan Malaysia dan industri halal global.


"Ia telah terbukti menjadi platform yang berkesan dalam menyatukan peserta pasaran dan mewujudkan rantaian bekalan global yang mampan," katanya.


Beliau juga menyatakan bahawa sebanyak 24 memorandum persefahaman (MOU) dimeterai di pameran perdagangan itu antara Malaysia dan organisasi serta syarikat antarabangsa, yang bernilai RM111 juta, menyerlahkan lagi potensi ekosistem halal Malaysia.


Pameran perdagangan itu, yang diadakan dari 17 hingga 20 Sept, 2024, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menarik seramai 43,353 pengunjung dari lebih 90 negara.


Ia menampilkan 2,028 gerai dari 66 negara, mempamerkan produk dan perkhidmatan merentasi 14 kluster berbeza di bawah tema "Penglobalan Inovasi Halal".


MATRADE menekankan bahawa MIHAS telah berkembang daripada pameran konvensional menjadi platform penting yang memudah cara rangkaian industri serta memupuk peluang dan perkongsian baharu.


Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), yang dijalankan secara bersemuka bersama MIHAS pada 18 Sept 2024 dan secara maya sejak 15 Feb 2024, telah menghubungkan 330 pembeli antarabangsa dengan 800 penjual tempatan, menjana RM2.52 bilion potensi nilai sumber, katanya.


“Angka ini mungkin meningkat apabila INSP secara maya akan diteruskan sehingga 30 Nov 2024,” kata MATRADE.

Comments


bottom of page