MINDEF Perkukuh Pertahanan Wilayah Sabah
- nabalunews
- Oct 20, 2025
- 1 min read

20 Oktober 2025
LAHAD DATU: Kementerian Pertahanan akan memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan di Sabah dengan menyasarkan nisbah 50:50 anggota tentera darat antara Semenanjung dan wilayah Borneo dalam tempoh lima tahun ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini terdapat seramai 20,000 anggota tentera darat di Sabah daripada keseluruhan 130,000 anggota seluruh negara.
Katanya, kementerian Pertahanan akan menambah keanggotaan dan aset bagi menyeimbangkan kekuatan tentera di dua wilayah itu.
“Kita sedang bergerak ke arah nisbah tentera darat 50 peratus Semenanjung, 50 peratus Sabah–Sarawak.
Sekarang ini kita ada 20 ribu tentera di Sabah sahaja,” katanya semasa lawatan kerja ke Pos Tanduo, Lahad Datu, pada Isnin.
Mohamed Khaled berkata, sasaran itu turut merangkumi jumlah persenjataan, kekuatan tempur dan aset ketenteraan bagi memastikan keseimbangan keupayaan di kedua-dua wilayah.
Katanya, antara perancangan utama termasuk pemindahan satu rejimen kavaleri dari Semenanjung, penambahan batalion dua briged di Sabah, serta penubuhan rejimen artileri 155 milimeter bagi menggantikan sistem sedia ada.
“Kementerian turut akan menambah empat radar persisiran pantai dan menggantikan Pengkalan Laut Tun Sharifah Rodziah dengan pengkalan bergerak menjelang tahun depan.
“Kesiapsiagaan ATM juga penting bagi menjamin kelancaran proses Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah yang bakal diadakan.
“Kita mahu supaya demokrasi itu diraihkan dan dapat berjalan dengan baik. Maka di sini juga peranan Angkatan Tentera untuk memastikan kesiagaan bagi mengelak sebarang gangguan,” katanya.
“Peningkatan aset dan kehadiran anggota di Sabah membuktikan komitmen kerajaan terhadap keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.


















Comments