top of page

MINDET laksana agenda Sabah First di kementerian bermula 2026 – Ewon

  • nabalunews
  • Dec 17, 2025
  • 3 min read

17 Disember 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan melaksanakan agenda Sabah First secara menyeluruh di peringkat kementerian bermula tahun 2026, selaras dengan mandat baharu serta peluasan portfolio yang diletakkan di bawah kementerian itu.


Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick berkata, Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM105.67 juta bagi peruntukan perbekalan dan RM88.36 juta bagi peruntukan pembangunan kepada kementeriannya bagi tahun 2026.


Menurut beliau, jumlah peruntukan itu mencerminkan kepentingan strategik sektor perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan sebagai antara tunjang utama pembangunan ekonomi negeri.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Negeri 2026 bagi Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini.


Ewon berkata, daripada jumlah peruntukan pembangunan tersebut, RM43.53 juta diperuntukkan khusus bagi pembangunan infrastruktur dan utiliti taman-taman perindustrian di KKIP, POIC Lahad Datu dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) bagi meningkatkan daya tarikan pelaburan ke Sabah.


Dalam usaha memperkasa ekonomi di peringkat daerah, katanya, SEDCO menerima peruntukan RM16.90 juta bagi melaksanakan projek pembinaan rumah kedai dan premis perniagaan.


“Manakala RM5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Keusahawanan Negeri sebagai pusat penyelarasan semua inisiatif keusahawanan di bawah satu kementerian.


“Bagi sektor pengangkutan pula, sebanyak RM18.19 juta disalurkan kepada JKNS bagi memastikan perkhidmatan kereta api Sabah kekal relevan dan berdaya saing, manakala RM4.75 juta diperuntukkan kepada JPDS untuk memperkukuh infrastruktur pelabuhan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas pemberian peruntukan secara geran berjumlah RM145.78 juta melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), termasuk RM37.40 juta bagi tahun 2026 untuk pembangunan infrastruktur dan utiliti taman-taman perindustrian utama di Sabah.


Menurut Ewon, usaha bersepadu Kerajaan Negeri dan Persekutuan itu diyakini mampu meningkatkan daya saing ekonomi Sabah, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta menjana kesejahteraan rakyat.


“Setakat suku ketiga 2025, Sabah mencatatkan jumlah pelaburan sektor pembuatan sebanyak RM7.54 bilion, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai negeri keenam tertinggi di Malaysia dari segi penerimaan pelaburan,” katanya.


Seiring agenda Sabah First, beliau menegaskan kementerian akan terus komited menarik pelaburan berimpak tinggi, memperkasa industri tempatan serta memastikan keutamaan diberikan kepada penglibatan dan pembangunan tenaga kerja anak Sabah.


Beliau berkata, MINDET akan bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerusi misi pelaburan antarabangsa dan strategi penjenamaan bersepadu bagi mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan utama.


Katanya, sektor yang diberi tumpuan ialah sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi biru, biomas dan pemprosesan makanan bermula tahun 2026.


Mengenai hala tuju agensi, Ewon berkata SEDCO akan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi negeri.


Katanya, empat projek sambungan dijangka siap pada 2026 melibatkan Pulau Bum-Bum, Matunggong, Weston dan Beaufort, selain projek baharu di Sook dan Kinabatangan.


“SEDCO juga akan mempergiat latihan keusahawanan termasuk Skim Usahawan Siswazah, Skim Usahawan Teknikal serta Program Tunas Niaga yang melibatkan 40 sekolah menengah,” katanya.


Ewon berkata, KKIP juga akan terus diperkasa sebagai taman perindustrian strategik negeri, di samping usaha memuktamadkan model pembangunan Taman Perindustrian Kota Belud (KBIP) yang akan dilaksanakan secara berfasa.


Bagi POIC Lahad Datu, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan Dasar Industri Biojisim Kelapa Sawit Sabah, pembangunan Platform Pengumpulan Biomas POIC serta usaha merealisasikan cadangan pewartaan Zon Bebas yang telah mendapat kelulusan dasar Kerajaan Persekutuan.


Sementara itu, katanya SOGDC akan menumpukan kepada penyelarasan pelaburan di SOGIP, mempercepatkan fasa pembinaan, melaksanakan kajian pembangunan pelabuhan dan Zon Ekonomi Bebas, serta merancang pembangunan Pelabuhan SOGIP bagi memperkukuh sektor perkhidmatan maritim dan logistik.


Ewon berkata, Invest Sabah Berhad akan menyediakan Pelan Pelaburan Sabah 2030 (SIP 2030) sebagai input kepada Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.


Manakala Sabah Trade and Tourism Office Singapore (STTOS) akan terus berperanan menarik pelaburan dan memperluas pasaran produk Sabah di Singapura.


Dalam aspek pengangkutan dan pelabuhan, beliau berkata Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, JPDS dan JKNS akan terus diperkasa bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri melalui peningkatan kapasiti pelabuhan, penaiktarafan kemudahan, serta pelaksanaan projek rel dan kajian sistem pengangkutan awam berasaskan rel di Sabah.


“Kesemua inisiatif ini adalah sebahagian daripada pelaksanaan agenda Sabah First di kementerian ini bagi membina ekosistem ekonomi yang inklusif, berdaya tahan dan memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page